Bekas jururawat didakwa tipu wanita tawar bayi sebagai anak angkat

LocalPolitics
20 Dec 2024 • 3:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mahirah (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang wanita dengan menawarkan bayi untuk dijadikan sebagai anak angkat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang bekas jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang wanita dengan menawarkan bayi untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Mahirah Mohd Yusof, 40, didakwa memperdayakan N Jay Letchumy Naidu, 38, dengan menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat hingga mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM15,950 kepada tertuduh di sebuah premis di Kepong Baru, Sentul di sini antara 20 Januari dan 7 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun hingga maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Faris Ezani yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai tanggungan empat orang anak selain menghidap penyakit diabetes dan anemia.

Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Feb depan untuk sebutan kes.

Peguam Reenajit Kaur Golen hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa. - Bernama