IPOH - Seorang bekas kakitangan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua pelajar kolej berkenaan bulan lalu.
Tertuduh, Roykarnaen Maseri, 44, yang bertugas di bahagian pentadbiran kolej membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua pelajar wanita masing-masing berusia 19 dan 22 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bilik aktiviti HEP 3, KPTM Meru Jelapang dalam daerah Kinta jam 6.12 petang, 5 Ogos 2026 dan 8.15 malam pada 6 Ogos 2026.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh diwakili Peguam Aliff Aiman Rusli dan Muhammad Ajrun Dzakirin Hakimi memohon jaminan lebih rendah iaitu RM3,000 atas alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan selepas berhenti kerja pada 17 Ogos lalu.
Tertuduh turut menanggung isteri, seorang anak berusia tujuh tahun serta ibu bapanya berusia 58 dan 72 tahun yang mempunyai masalah kesihatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Dalam prosiding sama di hadapan Majistret Norizan Riduan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengeluarkan kata-kata berunsur lucah terhadap empat pelajar berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar daerah Kinta antara 18 Jun hingga 6 September 2026 dengan niat menyebabkan gangguan, ketakutan, tekanan dan kebimbangan kepada mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin mengikut Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM4,500 bagi keempat-empat pertuduhan tersebut dengan syarat tambahan sama.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Oktober depan.






