
TEMERLOH – Bekas pembantu sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Mentakab di sini didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga boleh menyebabkan kecederaan emosi, bulan lalu.
Tertuduh, Nor Ain Ashikin Husin, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berkenaan didakwa menganiaya mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan emosi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9.45 pagi di sebuah taska di Taman Keramat Indah, Mentakab di sini pada 11 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan keluarga anak guamnya hanya mampu menyediakan RM5,000.
Tambahnya, tertuduh yang telah berkahwin sebelum ini bekerja dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan, namun kini tidak lagi mempunyai pekerjaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan mana-mana saksi pendakwaan serta diwajibkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Baru-baru ini tular dalam media sosial rakaman video berdurasi 22 saat yang memaparkan seorang wanita memarahi dan menyentuh seorang kanak-kanak yang sedang menangis di sebuah taska di Mentakab.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron dilaporkan berkata, siasatan dibuka selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 29.- KOSMO! ONLINE
The post Bekas pembantu taska didakwa aniaya kanak-kanak dua tahun appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Anak saya diliwat lebih lima pelajar tahfiz](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-09-at-13.43.39-1024x682.jpeg)
