
Kota Kinabalu: Seorang bekas ketua akauntan berusia 34 tahun yang didakwa melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM277,405.25 diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fisher @ Fisal membuat keputusan itu terhadap Barnabas Aki Justus selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 22 hingga 24 September untuk Barnabas membela diri.
Barnabas didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang milik Syarikat Bewonder Holdings Sdn Bhd yang diamanahkan kepadanya ketika beliau bertugas sebagai ketua akauntan syarikat berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 4 Disember 2023 hingga 14 Mac 2024 di premis syarikat tersebut.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. Pihak pendakwaan telah memanggil empat saksi sepanjang peringkat pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya AK Johari.
Mahkamah turut membenarkan Barnabas dibebaskan dengan lanjutan jaminan mahkamah.
Dalam kes berasingan seorang buruh berusia 34 tahun yang didakwa merogol seorang remaja perempuan bawah umur lima tahun lalu turut diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Hakim Mahkamah Sesyen menetapkan 19 September untuk Jumat Pilih mengemukakan pembelaannya.
Jumat didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun pada 20 November 2021, kira-kira jam 4.40 petang di dalam sebuah stor di sebuah premis di Penampang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan.
Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang peringkat pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim hadir bagi pihak pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Dominic Chew.





