Bekas ketua logistik tentera didakwa rasuah

WorldPolitics
8 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bekas ketua logistik tentera didakwa rasuah

KYIV: Bekas ketua logistik Tentera Udara Ukraine berdepan tuduhan rasuah baharu selepas ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan awal tahun ini. 

Ketua Pendakwa Raya Ukraine, Ruslan Kravchenko tidak mendedahkan nama bekas pegawai ber­kenaan. Namun,  agensi berita RBC Ukraine mengenal pasti suspek sebagai Andrey Ukrainets yang memegang jawatan itu sehingga Februari lalu.

Menurut laporan agensi itu, Ukrainets ditahan lima bulan lalu ketika cuba menyogok kepimpinan Per­khidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) bagi menghentikan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana dalam pembinaan struktur perlindungan pesawat di lapangan terbang tentera di seluruh negara.

Kerajaan Kyiv memperuntukkan 1.4 bilion hryvnia (RM126.7 juta) pada Mei 2025 untuk projek berkenaan. Bagaimanapun, sebahagian besar dana itu dilaporkan lesap.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Ketua Pendakwa Raya Ukraine berkata, hasil siasatan terbaharu mendapati suspek membeli lebih 12 hartanah yang nilainya melebihi pendapatan, se­kurang-kurangnya 20 juta hryvnia (RM1.8 juta).

Menurut Kravchenko, antara 2020 hingga 2025, bekas komander itu memperoleh tiga rumah persendirian di wilayah Zhitomir, barat Ukraine; tujuh apartmen di Kyiv, Vinnitsia, Zhitomir dan Bukovel; beberapa garaj serta premis bukan kediaman lain; selain enam bidang tanah.

Kenyataan itu turut menyebut suspek menggunakan empat kereta mewah, termasuk Audi Q7 dan Audi Q5.

Ibu bapa, anak lelaki serta beberapa saudara suspek didaftarkan sebagai pemilik hartanah itu, Namun, penyiasat mendapati pendaftaran itu hanya bertujuan menyembunyikan pemilikan sebenar, menurut kenyataan tersebut. – AGENSI

 

The post Bekas ketua logistik tentera didakwa rasuah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved