KUANTAN - Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dihukum penjara lapan bulan selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 46 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2019 hingga 2023 lalu.
Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56.
Dalam keputusan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan bagaimanapun hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh disabitkan.
Sazlina berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen yang memenuhi kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi kesemua tuduhan tersebut.
Jun lalu, Mohd Azhar Mohd Yusoff diperintahkan membela diri atas semua pertuduhan rasuah dihadapinya.
Mahkamah mendapati kesemua 46 pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah teratur dan sah serta tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan kes pendakwaan termasuk keterangan 20 saksi pendakwaan.
Mohd Azhar yang didakwa di mahkamah itu pada 7 September 2023 mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan menerima rasuah tanpa balasan itu yang didakwa diterima melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan membabitkan penerimaan wang antara RM100 hingga RM5,600 daripada empat individu sebagai dorongan untuk melindungi mereka daripada dikenakan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Datuk Bob Arumugam dan M Athimulan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Abd Razak serta Dr Ifa Sirrhu Shamsuddin.
Semantara itu, M Athimulan dalam hujah rayuan hukuman ke atas anak guamnya memohon mahkamah menggunakan budi bicara agar tertuduh tidak dipenjarakan sebaliknya dikenakan hukuman berbentuk denda.
Pihak pendakwaan sebaliknya memohon hukuman lebih berat termasuk penjara dan denda maksimum.
Sementara itu, mahkamah membenarkan permohonan perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Mohd Azhar sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.






