
KUALA LUMPUR: Kes membabitkan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar akan mula dibicarakan selama 15 hari bermula 26 Julai tahun hadapan.
Perbicaraan itu bagi empat pertuduhan rasuah dan pecah amanah terhadap Mohd Nizam, 60, melibatkan wang berjumlah lebih RM3 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes itu pada 26 hingga 29 Julai; 9 hingga 12 Ogos; 13 hingga 15 September dan 27 hingga 30 September 2027
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memaklumkan pihak pendakwaan sudah melengkapkan penyerahan keseluruhan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.
“Pada hari ini, dokumen sudah pun lengkap diserahkan kepada pihak pembelaan. Secara keseluruhannya, terdapat lima jilid dokumen.
“Pihak pembelaan ada hasrat untuk memasukkan satu representasi dan sebutan akan datang sudah dibincangkan dan dipersetujui oleh pihak-pihak,” katanya.
Peguam bela, Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd Nizam mengesahkan perkara itu.
Katanya, pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh seminggu, namun, tidak memperincikan tujuan representasi berkenaan.
“Pihak kami sahkan penerimaan dokumen pendakwaan Jilid Kelima hari ini.
“Kami juga akan memfailkan pernyataan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi mengetahui perkembangan representasi tersebut pada 28 Oktober ini.
Pada 23 Januari lalu, Mohd. Nizam mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 dan satu pertuduhan pecah amanah RM3 juta.
Bagi dua pertuduhan pertama, Mohd. Nizam yang pada ketika itu merupakan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyalahgunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM552,481.90 bagi Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025.
Tertuduh didakwa ketika mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) telah melantik lima syarikat bagi kerja-kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, tuala mandi dan beg galas kepada TKAT yang mana beliau mempunyai kepentingan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 24 Jun 2024 di Kementerian Pertahanan, 15, Jalan Padang Tembak dekat sini.
Bagi pertuduhan ketiga, pada 4 Oktober 2024, di tempat sama, Mohd. Nizam ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan (TKAT) didakwa pecah amanah wang RM3 juta milik pertubuhan itu dengan membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan jawatankuasa itu. – UTUSAN
The post Bekas PAT dibicara mulai Julai tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.






