Bicara kes rasuah, pecah amanah bekas PAT bermula Julai 2027

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 1:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bicara kes rasuah, pecah amanah bekas PAT bermula Julai 2027

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 15 hari bermula 26 Julai 2027 bagi perbicaraan kes bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar yang berdepan empat pertuduhan rasuah dan pecah amanah.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan. Tarikh-tarikh itu adalah pada 26 hingga 29 Julai, 9 hingga 12 Ogos, 13 hingga 15 September serta 27 hingga 30 September 2027.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip berkata, pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan selepas melengkapkan penyerahan Jilid Kelima hari ini.

“Hari ini, dokumen sudah pun lengkap diserahkan kepada pihak pembelaan. Secara keseluruhannya, terdapat lima jilid. Pihak pembelaan berhasrat untuk memasukkan satu representasi dan sebutan akan datang sudah dibincangkan oleh pihak-pihak serta dipersetujui untuk ditetapkan pada 28 Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd. Nizam berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa seminggu, namun tidak memperincikan tujuannya.

Beliau berkata, perkara itu dibuat selepas pihaknya menerima dokumen lengkap daripada pihak pendakwaan.

Katanya, pihak pembelaan turut memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi mendengar keputusan berhubung representasi berkenaan.

“Pihak kami sahkan penerimaan dokumen pendakwaan Jilid Kelima hari ini. Anak guam kami ada untuk mengemukakan representasi untuk pertimbangan (AGC) dan kami juga akan memfailkanlah pernyataan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Tarikh-tarikh (perbicaraan) yang dinyatakan sebentar tadi pun dipersetujui oleh pembelaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mengetahui perkembangan representasi berkenaan.

Pada 23 Januari lalu, Mohd. Nizam didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 dan satu pertuduhan pecah amanah RM3 juta.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM552,481.90 bagi dirinya sendiri.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan di dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Sementara pertuduhan keempat, Mohd. Nizam didakwa sebagai PAT ATM telah menerima untuk dirinya sendiri wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah yang mana tertuduh ketahui mungkin ada kena-mengena dalam urusan yang akan dijalankan olehnya. – KOSMO! ONLINE

The post Bicara kes rasuah, pecah amanah bekas PAT bermula Julai 2027 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved