
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 15 hari pada tahun depan untuk perbicaraan kes bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang berdepan empat pertuduhan membabitkan rasuah dan pecah amanah jenayah (CBT).
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, menetapkan tarikh perbicaraan itu ketika prosiding sebutan kes Mohd Nizam, 60, hari ini.
Perbicaraan ditetapkan pada 26 hingga 29 Julai, 9 hingga 12 Ogos, 13 hingga 15 September dan 27 hingga 30 September 2027.
Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip berkata, pihak pendakwaan telah selesai menyerahkan semua dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan selepas dokumen dalam jilid kelima dan terakhir diserahkan hari ini.
“Semua dokumen telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak pembelaan hari ini. Keseluruhannya terdapat lima jilid dokumen.
“Pihak pembelaan bercadang mengemukakan representasi. Selepas berbincang, kedua-dua pihak bersetuju supaya sebutan seterusnya ditetapkan pada 28 Oktober 2026,” katanya.
Menurut Nidzuwan, pihak pendakwaan turut bersetuju dengan tarikh perbicaraan yang dicadangkan.
Sementara itu, peguam Mohd Nizam, Abdul Aziz Hamzah berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh seminggu.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan tujuan representasi tersebut.
Katanya, representasi berkenaan akan dikemukakan selepas pihak pembelaan menerima keseluruhan dokumen daripada pihak pendakwaan.
Pihak pembelaan turut memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan perkembangan mengenai representasi itu.
“Kami mengesahkan telah menerima Jilid Lima dokumen pendakwaan hari ini.
“Anak guam kami bercadang mengemukakan representasi untuk pertimbangan AGC dan kami juga akan memfailkan pernyataan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Tarikh perbicaraan yang disebut tadi juga dipersetujui pihak pembelaan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan lanjut bagi mendapatkan perkembangan mengenai representasi tersebut.
Mohd Nizam yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja putih dan sut hitam turut mengikuti prosiding berkenaan.
Pada 23 Januari lalu, Mohd Nizam mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM552,481.90.
Beliau turut berdepan satu pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan RM3 juta daripada Kumpulan Wang Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) serta satu pertuduhan menerima RM200,000.
Bagi dua pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT untuk mendapatkan suapan masing-masing berjumlah RM267,481.90 dan RM285,000 bagi dirinya.
Beliau didakwa melantik lima syarikat untuk membekalkan kain sarung, kain batik, playar lipat pelbagai fungsi, beg galas dan tuala mandi bagi pakej hadiah Hari Raya TKAT 2025.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa melakukan pecah amanah jenayah ketika memegang jawatan berkenaan dengan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM3 juta dalam sebuah syarikat tanpa mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Bagi pertuduhan keempat, Mohd Nizam yang ketika itu merupakan Panglima Angkatan Tentera didakwa menerima RM200,000 untuk dirinya daripada seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun tanpa sebarang balasan.
Beliau didakwa mengetahui bahawa wang tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan urusan perniagaan yang akan dijalankan oleh tertuduh. - Getaran, 10 September 2026






