
SHAH ALAM – Tindakan seorang bekas pegawai bank gagal melaporkan suapan RM2,100 membawa padah apabila didenda RM6,000 iaitu tiga kali ganda nilai suapan itu, oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Mohd. Nasir Nordin turut mengingatkan tertuduh, Siti Zuraida Mohd. Zulkifli, 40, supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Dalam peringatannya, hakim menegaskan bahawa harta yang diperoleh perlu datang daripada sumber yang betul.
“Makanlah daripada harta yang betul dan bukan secara batil,” jelasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, Siti Zuraida didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,100 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya daripada akaun sebuah firma guaman sebagai upah mencadangkan firma tersebut menyediakan dokumen pembiayaan rumah.
Kesalahan itu dilakukan di cawangan sebuah bank di Seksyen 13 pada 19 Ogos 2020 dan perbuatan tersebut melanggar Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan pemberian suapan kepada pegawai SPRM atau polis dengan seberapa segera seperti dikehendaki subseksyen 25(1) akta sama.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah subseksyen 25(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dengan penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Peguam Wan Idi Amin Wan Ibrahim dalam rayuannya memohon denda minimum terhadap tertuduh yang kini merupakan suri rumah yang membenarkan empat anak berusia 4 hingga 13 tahun.
“Tertuduh masih perlu menjalani rawatan bulanan RM500 meskipun telah menjalani pembedahan tiroid. Tertuduh telah mengambil pengajaran daripada kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee menegaskan tindakan tertuduh telah menidakkan peluang firma guaman lain hasil ganjaran diterima daripada firma guaman terlibat.
“Dalam menentukan denda, mahkamah perlu mempertimbangkan kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh. Denda yang dikenakan diharap menjadi pengajaran seterusnya tidak mengambil mudah terhadap aktiviti yang menyumbang kepada amalan rasuah. Mohon denda antara RM5,000 hingga RM8,000 mengikut budi bicara mahkamah,” tegasnya.
Untuk rekod, Siti Zuraida antara individu yang ditahan dalam Op Tiger dijalankan SPRM bagi membanteras rasuah sistemik dalam institusi kewangan. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas pegawai bank didenda tiga kali ganda suapan appeared first on Kosmo Online.






