Mahkamah arah RM1.5 juta daripada kes penipuan dalam talian dipulangkan kepada Agrobank

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 6:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah arah RM1.5 juta daripada kes penipuan dalam talian dipulangkan kepada Agrobank Image from: Mahkamah arah RM1.5 juta daripada kes penipuan dalam talian dipulangkan kepada Agrobank hamden21/09/2026 - 18:09

KUALA LUMPUR 21 Sept - Mahkamah Sesyen mengarahkan RM1.505 juta yang dibekukan daripada 60 akaun keldai dipulangkan kepada Bank Pertanian Malaysia (Agrobank), sekali gus menjadi pemulihan pertama daripada kes penipuan dalam talian yang menyebabkan bank itu mengalami kerugian lebih RM200 juta tahun lalu.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Surita Budin memerintahkan wang tersebut dipulangkan kepada Agrobank dalam tempoh 21 hari bekerja.

 

Menurut laporan The Edge hari ini wang berkenaan dibekukan oleh unit jenayah komersial polis ketika siasatan terhadap kes yang pertama kali dilaporkan pada November 2025.

 

Peguam Agrobank, Datuk Baljit Singh Sidhu dan Gupreet Kaur Pannu memfailkan permohonan pada 11 Ogos untuk mendapatkan semula dana yang dikesan daripada 60 akaun tersebut.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar dan Eugenie Meredith Gilbert hadir mewakili jabatan jenayah komersial polis.

 

Berdasarkan laporan polis dan siasatan yang dijalankan, sebanyak 1,903 akaun telah disita melalui perintah bertulis di bawah Seksyen 116D(2) Kanun Tatacara Jenayah (CPC), melibatkan jumlah keseluruhan RM16.929 juta.

 

Permohonan Agrobank melalui Tetuan Shukor Baljit & Partners itu hanya melibatkan kumpulan pertama terdiri daripada 60 akaun, berdasarkan butiran yang dikenal pasti dan diberikan polis kepada bank.

 

Dalam permohonannya, Agrobank berkata adalah adil dan munasabah untuk dana yang dikenal pasti sebagai milik bank dipulangkan tanpa perlu menunggu keseluruhan siasatan melibatkan 1,903 akaun selesai, terutama selepas kesemua 60 pemegang akaun bersetuju dengan pemulangan dana tersebut.

 

Bank itu turut memohon supaya polis dibenarkan menyimpan semua penyata bank, rekod transaksi, dokumen serta data dan bukti elektronik bagi tujuan siasatan dan perintah lain yang difikirkan sesuai serta adil oleh mahkamah.

 

Transaksi RM203.8 juta

RM1.505 juta itu adalah sebahagian daripada dana yang didakwa diseleweng daripada Agrobank antara 31 Oktober dan 3 November tahun lalu melalui transaksi tanpa kebenaran yang melibatkan antara muka kawalan aplikasi bank pada Payments Network Malaysia Sdn Bhd.

 

Transaksi tersebut menyebabkan dana dalam akaun penyelesaian Agrobank dikreditkan secara tidak sah ke pelbagai akaun pendeposit.

 

Dalam afidavit sokongan permohonan, Agrobank mendakwa transaksi berkenaan tidak melibatkan akaun pelanggan, sebaliknya akaun penyelesaian bank yang dilakukan tanpa pengetahuan, kelulusan atau persetujuan Agrobank.

 

Keseluruhannya, transaksi tanpa kebenaran itu melibatkan 1,644 akaun Agrobank dan 881 akaun penerima merentasi 20 bank, membabitkan 2,973 transaksi bernilai RM203.8 juta.

 

Susulan laporan polis dan siasatan pihak berkuasa, sebanyak 1,903 akaun telah dibekukan melalui perintah bertulis di bawah Seksyen 116D(2) CPC.

 

Seksyen berkenaan memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menjalankan penggeledahan ketika siasatan terhadap suspek.

 

Polis setakat ini telah menahan 47 individu, dengan tiga daripadanya didakwa di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan melibatkan akaun keldai.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

 

BNM sebelum ini berkata tiada dana pelanggan terjejas dan tiada data pelanggan dikompromi, manakala Agrobank, polis serta pihak berkuasa lain meneruskan usaha menyiasat kejadian itu dan mendapatkan semula dana yang hilang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved