Bekas pegawai bank gagal lapor rasuah didenda RM36,000

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 3:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah lebih RM80,000, sejak lima tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas Noor Iskandar Aziz, 45, mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa gagal melaporkan suapan berjumlah RM80,123.60 yang diterima melalui enam transaksi secara deposit tunai ke dalam akaun bank miliknya dan isteri daripada dua individu serta syarikat CSA Infinite Consultancy.

Suapan itu diberikan bagi membantu permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan Syarikat CSA Academy Sdn. Bhd. secara serentak di beberapa institusi kewangan lain.

Kesalahan itu dilakukan di dua cawangan bank di Setia Alam dan di Jalan Maarof, di sini di antara 5 Oktober 2021 dan 11 Mei 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam bela, Sean Dudley mewakili Noor Iskandar memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya yang kini bekerja sebagai penghantar barang mempunyai tanggungan keluarga.

“Pendapatan yang rendah itu digunakan untuk menyara dua anak, menjaga ibu bapanya serta ibu mentua yang separuh lumpuh akibat strok.

“Beliau sendiri adalah pesakit tekanan darah tinggi yang memerlukan rawatan dan perubatan secara berterusan.

“Tertuduh juga sudah memberi kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan dan beliau tidak punyai rekod jenayah. Kami mohon hukuman berbentuk denda,” katanya.-UTUSAN

The post Bekas pegawai bank gagal lapor rasuah didenda RM36,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved