Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM37.37 juta pada 2017.
Menurut laporan Sinar Harian, Azlizan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin. Tertuduh hadir ke mahkamah dengan menggunakan kerusi roda.

Foto: Astro Awani / Shahir Omar
Berdasarkan pertuduhan, Azlizan yang ketika itu memegang jawatan CEO UHSB didakwa diamanahkan dengan wang berjumlah RM37,374,612.68 bagi tujuan pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.
Bagaimanapun, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berkenaan dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya menerusi pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada yang telah ditetapkan.
Perbuatan itu didakwa berlaku di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, antara 2 Februari hingga 2 Oktober 2017.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)






