KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai bank didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan gagal melaporkan pemberian rasuah lebih RM80,000 berhubung pembiayaan pinjaman peribadi antara 2021 hingga 2023.
Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Iskandar Aziz, 45, dan memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kesemua pertuduhan pilihan, Noor Iskandar didakwa diberikan suapan masing-masing berjumlah RM3,400, RM14,540, RM11,690, RM18,425, RM1,375 dan RM30,693.60 secara deposit tunai ke akaun bank milik tertuduh dan isterinya daripada dua individu serta syarikat CSA Infinite Consultancy.
Suapan itu bagi membantu permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan syarikat CSA Academy Sdn Bhd di sebuah bank secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan di beberapa institusi kewangan lain, yang mana tertuduh gagal untuk melaporkan pemberian berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua cawangan bank di Kuala Lumpur dan Setia Alam antara 5 Okt 2021 hingga 11 Mei 2023, mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat.
Peguam Sean Dudley yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja atas alasan anak guamnya bekerja sebagai penghantar barang perlu menanggung isteri serta dua anak selain menghidap darah tinggi dan memerlukan rawatan berterusan. - Bernama






