Kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, disahkan kerana mengalami kecederaan teruk akibat ditetak dan ditikam dalam satu pergaduhan di Kangar.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan pergi ke rumah seorang lelaki yang dikenali dalam keadaan marah sebelum tercetusnya pergaduhan dan pergelutan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.
“Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.
“Namun mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam semalam (Rabu) akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam,” katanya.
Susulan itu, tiga lelaki berusia 28 hingga 51 tahun ditahan, dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kangar.
Yusharifuddin berkata, siasatan lanjut mendapati mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan. Satu kesan tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.
Dalam pada itu katanya, polis juga menyiasat sekiranya wujud unsur kongsi gelap dan gangsterisme dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
Sumber: Astro Awani
The post Bekas pelumba GP, Elly Idzlianizar maut akibat ditetak & ditikam appeared first on The Reporter.

