KUALA LUMPUR - Bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin berhubung kes rasuah membabitkan projek mesra rakyat.
Menurut sumber, lelaki terbabit dijadualkan didakwa kira-kira jam 8.30 pagi.
Media sebelum ini melaporkan dua individu termasuk bekas pembantu khas berkenaan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.
Wang itu dipercayai sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam pada 5 Mac tahun lalu ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
Menurutnya, mereka disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Projek itu dipercayai membabitkan pembekalan interactive smart board kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.






