Disyaki terima rasuah RM500,000 bekas pembantu khas Teresa Kok dijangka didakwa esok

LocalPolitics
10 May 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Disyaki terima rasuah RM500,000 bekas pembantu khas Teresa Kok dijangka didakwa esok
Bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh dijangka didakwa pada Isnin berhubung kes rasuah membabitkan projek mesra rakyat.

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin berhubung kes rasuah membabitkan projek mesra rakyat.

Menurut sumber, lelaki terbabit dijadualkan didakwa kira-kira jam 8.30 pagi.

Media sebelum ini melaporkan dua individu termasuk bekas pembantu khas berkenaan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.

Wang itu dipercayai sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam pada 5 Mac tahun lalu ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Projek itu dipercayai membabitkan pembekalan interactive smart board kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.