
SHAH ALAM: Bekas penceramah bebas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua tuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah dalam telefon bimbitnya.
Tertuduh, Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Mengikut kedua-dua dua pertuduhan itu, Faridul Firdaus didakwa dalam milikannya dua telefon bimbit yang mengandungi gambar bogel dan video lucah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, jam 6.15 petang, 1 Julai 2025.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam bela A Naveenthiran bagaimanapun memohon jaminan minimum yang munasabah kerana anak guamnya penanggung utama keluarga termasuk dua isteri dan 11 anak berusia dua bulan hingga 15 tahun.
Peguam itu berkata, tertuduh tiada rekod jenayah lampau dan tidak berhubung dengan pengadu, oleh itu tiada sebarang risiko dia akan mengganggu saksi.
“Tertuduh juga hilang sumber pendapatan sejak kes ini bermula. Saya pohon jaminan minimum dan munasabah,” katanya.
Cynthia Noor kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Beliau menetapkan sebutan semula kespada 27 Oktober ini.
The post Bekas pendakwah bebas tidak mengaku miliki gambar, video lucah dalam telefon bimbit appeared first on Utusan Malaysia.





![[VIDEO] Farid Abu Auliya didakwa miliki gambar bogel, video lucah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/09/11/3643880.webp)