SHAH ALAM - Seorang bekas penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah dalam dua telefon bimbitnya, tahun lalu.
**media[3643880]**Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa kepada 11 anak yang memakai baju kemeja berwarna putih dan biru itu, didakwa ada dalam milikannya telefon bimbit jenis Galaxy S23 Ultra dan Honor X9C yang mengandungi gambar bogel dan video lucah.
Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat D9, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini pada jam 6.15 petang, 1 Julai 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, A Naveenthiran yang mewakili Faridul Firdaus merayu agar kadar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengharapkan sumbangan awam.
"Dia perlu menyara dua isteri dan 11 anak berusia dua bulan hingga 15 tahun, termasuk ibu bapa yang sudah tua.
"Dia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sejak siasatan dibuat tahun lalu, malah tiada risiko melarikan diri atau mengganggu saksi," katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Cynthia Noor Haizean membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Oktober depan.
Pada 5 Julai 2025, media melaporkan polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung kes berkenaan.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 16 Julai 2025 atas satu pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah pada 2024.





