
SHAH ALAM: Seorang bekas penceramah bebas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki gambar dan video lucah dalam dua telefon bimbit pada tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh atau nama sebenarnya Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, didakwa memiliki gambar bogel dan video lucah dalam dua telefon bimbit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 6.15 petang pada 1 Julai tahun lalu.
Justeru, bapa kepada 11 anak itu dituduh dibawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni mencadangkan jaminan keseluruhan RM8,000 dan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Peguam A. Naveenthiran memohon jumlah jaminan yang minimum kerana anak guamnya kehilangan pendapatan sejak kes itu bermula selain dia tidak berisiko melarikan diri apabila sentiasa berada bersama keluarga.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober.
Sementara itu, Ustaz Farid ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, laporan dibuat oleh isteri keduanya yang bertujuan untuk bercerai selain memalukannya.
Katanya, wanita tersebut masih isteri yang sah apabila permohonan cerai yang dibuatnya sebelum ini telah ditolak Mahkamah Syariah.
“Dia (isteri kedua) menggunakan pendekatan sama dengan membawa perkara itu ke Mahkamah Syariah, tetapi permohonan cerainya ditolak. Dia masih isteri yang sah untuk tempoh lebih setahun ini,” jelasnya.
Malah, dia mempercayai terdapat pihak yang bersengkokol dengan isterinya sehingga menyebabkan dirinya berdepan pelbagai laporan sensasi sejak lebih setahun lalu.
Justeru katanya, dia menafikan beberapa laporan terdahulu yang didakwa mengaitkannya dengan pertuduhan atau dakwaan lain yang berbeza daripada pertuduhan sebenar yang kini dihadapi. – UTUSAN
The post Ustaz Farid tak mengaku miliki gambar, video lucah appeared first on Utusan Malaysia.





