Tiada rancangan menyenaraikan TNG Digital setakat ini - CEO CIMB

05/08/2025 - 18:20
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 5 Ogos – TNG Digital Sdn Bhd, pengendali eDompet Touch ‘n Go, tidak merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dalam masa terdekat, meskipun mencatat keuntungan buat kali pertama pada awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Bhd, Gurdip Singh Sidhu berkata, meskipun IPO menjadi salah satu pilihan strategik syarikat, keputusan mengenainya tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa.
“Pelaksanaan IPO adalah sesuatu yang kami akan terus pertimbangkan, tetapi ia bukan satu perkara yang kami kejar dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di luar sesi panel sempena MyFintech Week 2025 di Sasana Kijang hari ini.
CIMB Group Holdings Bhd merupakan pemegang saham utama dalam TNG Digital melalui pegangan 100% dalam Touch ‘n Go Sdn Bhd yang memiliki 45.01% ekuiti syarikat tersebut.
Baki pegangan dalam TNG Digital dimiliki oleh Antfin Singapore Holding Pte Ltd (23%), Alipay Singapore Holdings Pte Ltd (11.62%), Lazadapay Holdings Pte Ltd (11.38%), AIA Bhd (3%) dan ASP Malaysia LP (5.99%).
Sebelum ini, Reuters melaporkan TNG Digital merancang untuk tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun, dengan potensi mengumpul dana sekitar AS$300 juta (RM1.27 bilion).
Mengulas prestasi syarikat, beliau berkata TNG Digital kini berada pada landasan kukuh dengan pertumbuhan ketara dari segi jumlah transaksi dan penggunaan perkhidmatan.
“Ketika ini, perniagaan sedang berkembang dengan sangat baik. Kami telah mula menjana keuntungan selepas beberapa tahun berada dalam fasa inkubasi (fasa awal pelaburan dan pembangunan),” katanya.
Menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kerugian bersih TNG Digital susut kepada RM190 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), berbanding RM199.1 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan pula melonjak 62% kepada RM234 juta, berbanding RM144.4 juta pada FY22.
Syarikat itu kini mempunyai sekitar 23 juta pengguna yang berdaftar, meliputi hampir keseluruhan populasi dewasa Malaysia.
Gurdip turut menyuarakan keyakinan TNG Digital mampu mencapai status unicorn menjelang 2030, selaras dengan sasaran kerajaan untuk melahirkan lima syarikat unicorn tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com
standard



