Vikraman Kalia Purumal dilantik sebagai CEO MARC Data Sdn Bhd

08/08/2025 - 14:14
Vikraman Kalia Purumal Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) melantik Vikraman Kalia Purumal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MARC Data Sdn Bhd, anak syarikat milik penuhnya berkuat kuasa hari ini.
Vikraman sebelum ini memegang jawatan Ketua Strategi dan Transformasi MARC dalam memacu pelaksanaan perancangan strategik menyeluruh serta transformasi organisasi, termasuk inisiatif memperkukuh kedudukan pasaran dan kecekapan operasi kumpulan.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MARC Data yang baharu, beliau akan memimpin pembangunan dan pelaksanaan hala tuju strategik syarikat bagi memperluas penawaran kecerdasan kredit berasaskan data serta menambah nilai dalam ekosistem kewangan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC, Arshad Mohamed Ismail berkata, pelantikan Vikraman bertepatan dengan visi syarikat untuk mengukuhkan peranannya dalam landskap kecerdasan kredit.
“Kepimpinan strategik Vikraman akan menjadi pemacu fasa pertumbuhan seterusnya dalam bidang data dan analitik,” katanya dalam satu kenyataan.
Vikraman mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam sektor perkhidmatan kewangan merangkumi pengurusan pelaburan, penasihatan strategik serta transformasi organisasi.
Sebelum menyertai MARC, beliau merupakan Ketua Kumpulan Strategi dan Komunikasi di sebuah institusi kewangan Pembangunan dalam mengetuai strategi korporat, transformasi dan inisiatif pasaran modal.
Beliau memulakan kerjaya di Bank Negara Malaysia dalam Jabatan Pengurusan Rizab sebelum berkhidmat sebagai perunding pengurusan di Bain & Company, memberi nasihat kepada pelanggan serantau dalam strategi pertumbuhan dan peningkatan prestasi.
Vikraman merupakan pemegang Ijazah Sarjana Sains Kewangan dari London Business School dan seorang penganalisis kewangan bertauliah (CFA).
Pelantikan ini mencerminkan komitmen MARC untuk memperkukuh barisan kepimpinan serta memperluas keupayaan dalam bidang analitik kredit dan perkhidmatan data.- DagangNews.com
standard


