
KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil kutipan penalti berjumlah RM72,000, membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Putrajaya.
Nasahruddin Ahmad, 56, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
THP Bina Sdn Bhd ialah syarikat anak syarikat milik penuh TH Properties Sdn Bhd (yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji), berfokus dalam bidang pembinaan dan pengurusan projek.
Nasahruddin sebagai Pengurus Keselamatan dan Kesihatan syarikat itu yang diamanahkan wang hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Fourth Wave Sdn Bhd berjumlah RM72,000, didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaunnya.
Wang hasil kutipan penalti itu membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Presint 3 Wilayah Persekutuan, Putrajaya di atas PT 12081: Blok A -10 tingkat pejabat, Blok B – sembilan tingkat pejabat, Auditorium dan tiga tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah, PT 12075: Blok C – tujuh tingkat pejabat dan dua tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah, PT 12074 : Blok D – sembilan tingkat pejabat dan dua tingkat tempat letak kereta di aras bawah tanah untuk Tetuan THP Bina Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya antara 26 April 2013 hingga 12 Ogos 2015, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – Bernama
The post Bekas pengurus anak syarikat TH didakwa pecah amanah appeared first on Kosmo Digital.






