
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM72,000, di antara 2013 dan 2015.
Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
THP Bina merupakan anak syarikat pembinaan yang dimiliki sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji dan pertuduhan itu rentetan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Tengku Kamarolhisham didakwa bersubahat dengan Nasahruddin Ahmad yang ketika itu merupakan Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah terhadap wang RM72,000.
Wang berkenaan merupakan hasil kutipan penalti ke atas kontraktor, Fourth Wave Sdn. Bhd. bagi sebuah projek pembangunan kompleks pejabat di Presint 3, Putrajaya.
Tertuduh didakwa dengan sengaja mengarahkan Nasahruddin menyalahgunakan wang berkenaan dengan memasukkannya ke dalam akaun bank Nasahruddin sendiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 26 April 2013 hingga 12 Ogos 2015 di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. –UTUSAN
The post Kes RCI TH: Timbalan pengurus syarikat didakwa pecah amanah appeared first on Utusan Malaysia.






