Bekas teraju Bursa Malaysia, Umar Swift dilantik sebagai CEO Qualitas Health

03/06/2025 - 18:29
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 3 Jun - Pengendali hospital Qualitas Health Group melantik Datuk Muhamad Umar Swift sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, akan menyelia operasi di Malaysia, Singapura, dan Australia serta meneroka pasaran baharu di ASEAN.
Umar Swift juga dilatih sebagai ahli ekonomi di Monash University, Australia.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack berkata, beliau akan kekal sebagai pengerusi eksekutif sambil memberi panduan kepada syarikat.
"Penglibatan Umar menandakan titik perubahan penting bagi kami," katanya dalam satu kenyataan.
Umar Swift turut bertanggungjawab memperluas rangkaian syarikat dalam mengukuhkan kerjasama strategik.
Beliau yang berusia 60 tahun, bersara pada Mac selepas enam tahun berkhidmat di Bursa Malaysia. Sebelum itu, beliau pernah menerajui syarikat insurans MAA Group Bhd dan syarikat utiliti Gas Malaysia Bhd.
"Saya amat berbangga diberi penghormatan besar untuk menyertai Qualitas," tambah Umar Swift.- DagangNews.com
standard



