Shiraz Ramli diumum sebagai Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT mulai 1 Jun 2025

03/06/2025 - 11:17
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 3 Jun – Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melantik Shiraz Ramli sebagai Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, berkuat kuasa 1 Jun 2025.
Shiraz memulakan karier di Microsoft Malaysia pada 2011, menerajui inisiatif ICT nasional dan penggunaan awal teknologi awan sektor awam, sekali gus menerima pengiktirafan sebagai penyumbang cemerlang.
Beliau mengetuai hala tuju strategik, prestasi dan inovasi semua segmen perniagaan IT DNeX, termasuk memacu transformasi digital dan memastikan strategi teknologi selari dengan matlamat pertumbuhan jangka panjang serta daya saing kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Faizal Sham Abu Mansor berkata, Shiraz merupakan bakat luar biasa dengan kepakaran industri teknologi serta pengalaman luas dalam syarikat multinasional termasuk Microsoft, SAP dan Google, selain pernah berkhidmat di Prasarana Malaysia Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.
"Beliau akan mengetuai strategi pasaran serta menyelia pelaksanaan projek dan operasi semua segmen perniagaan IT kami, termasuk Dagang Net Technologies Sdn Bhd, pengendali National Single Window bagi pemudahcara perdagangan negara.
"Shiraz juga akan memimpin segmen baharu seperti Gamuda DNeX Cloud, usaha sama 50:50 dengan Gamuda yang menawarkan perkhidmatan Google Distributed Cloud secara terasing kepada sektor awam dan swasta tempatan.
"Beliau akan bekerjasama rapat dengan Ketua IT Kumpulan, Jasbendarjit Kaur, serta rakan teknologi tempatan dan antarabangsa seperti Google, Gamuda, Havelsan, dan Shanghai E&P International bagi memperluas pertumbuhan kumpulan di dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Multimedia.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Wilayah Asia, Sektor Awam Global di Microsoft dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif Digital Kumpulan di Prasarana, mengetuai inisiatif keselamatan siber, inovasi data raya, dan pemodenan infrastruktur.
Antara kejayaan beliau termasuk memacu pelaksanaan teknologi awan hibrid, keselamatan siber, dan strategi IT untuk organisasi seperti Telekom Malaysia, Axiata Group, Petronas Group, dan kementerian kerajaan.- DagangNews.com
standard



