
SEREMBAN – Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban menarik perhatian selepas bacaan Al-Qurannya ketika mengimamkan solat Subuh dipuji kerana begitu merdu dan tenang.
Perkongsian tersebut dibuat oleh Ustaz Haji Taufik menerusi Threads selepas beliau secara tidak sengaja mendengar bacaan lelaki berkenaan ketika tiba di surau R&R Seremban.
Menurutnya, pada ketika itu beliau belum mengetahui siapakah imam yang sedang mengimamkan solat.
Namun, selepas solat selesai, barulah beliau melihat bahawa imam tersebut merupakan seorang lelaki dari Bangladesh yang bekerja sebagai cleaner di food court R&R Seremban.
Rupanya Hafiz 30 Juzuk
Lebih mengagumkan, lelaki yang dikenali sebagai Shakil Ahmad Al-Hafiz itu sebenarnya merupakan seorang hafiz Al-Quran yang telah menghafaz 30 juzuk.
Ustaz Haji Taufik kemudian berkenalan dengannya dan mereka bertukar nombor telefon. Sejak itu, setiap kali singgah di R&R Seremban, beliau akan mencari Shakil.
Dalam perkongsian terbaharunya, beliau turut sempat merakam bacaan Al-Quran Shakil yang disifatkan sangat merdu, fasih dan tenang.
“Dia mungkin bekerja sebagai cleaner sahaja, tetapi di dalam dadanya tersimpan 30 Juzuk Kalam Allah.”
Beliau turut berkongsi harapan agar Shakil suatu hari nanti diberikan peluang menjadi imam rasmi di mana-mana masjid kerana melihatnya sebagai seorang yang sangat layak.
“Kadang-Kadang Allah Hadirkan Orang Hebat Dalam Keadaan Sederhana”
Ustaz Haji Taufik turut mendoakan agar Allah SWT memelihara hafazan Shakil, memberikan istiqamah, kesihatan serta rezeki yang luas.
Katanya, kisah tersebut menjadi peringatan bahawa seseorang yang hebat tidak semestinya hadir dalam keadaan atau pekerjaan yang kita sangkakan.
“Kadang-kadang kita mencari orang hebat di tempat yang jauh. Sedangkan Allah SWT hadirkan seorang Hafiz Al-Quran di tepi jalan yang kita selalu lalui,” katanya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian warganet, termasuk seorang pengguna yang mendakwa pernah berjemaah solat Subuh bersama Shakil di R&R Seremban dan turut kagum mendengar bacaannya sebelum melihat beliau kembali bekerja mengangkat pinggan di kawasan food court.
Kisah Shakil ini sekali lagi mengingatkan bahawa nilai seseorang tidak ditentukan oleh pekerjaan atau pakaian yang dipakainya, tetapi apa yang tersimpan dalam dirinya. – The Malaysian Update
The post Bekerja Sebagai Cleaner Di R&R Seremban, Lelaki Bangladesh Rupanya Hafiz Al-Quran 30 Juzuk appeared first on The Malaysian Update.





