Polis tahan lelaki berkait kes pembakaran, kecurian naskhah al-Quran di Seremban

26 Aug 2026 • 11:22 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Polis merampas 16 naskhah dan 36 kulit al-Quran dalam siasatan kes pembakaran dan kecurian di Seremban.

Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembakaran dan kecurian naskhah al-Quran di sekitar Seremban.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian pembakaran dikesan pada 22 Ogos lalu selepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.22 pagi berhubung kebakaran kecil di kawasan tepi padang bola, Taman Bandar Senawang.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran itu melibatkan beberapa naskhah al-Quran. Susulan penemuan tersebut, anggota bertugas di Bilik Gerakan membuat laporan polis sebagai maklumat pertama berhubung kejadian.

“Pada hari sama, kira-kira jam 5.45 petang, polis turut menerima laporan mengenai kejadian kecurian naskhah al-Quran di sebuah masjid di kawasan Forest Height, Seremban,” katanya.

Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, polis menyerbu sebuah hotel di Jalan Abdul Rahman, Chow Kit, Kuala Lumpur pada 24 Ogos lalu kira-kira jam 9.30 malam sebelum menahan suspek.

Baca juga:

Pemeriksaan di bilik hotel yang didiami lelaki terbabit menemukan dua beg bagasi dan sebuah beg galas yang mengandungi keseluruhan 16 naskhah al-Quran.

Polis turut merampas tiga telefon bimbit serta beberapa barangan peribadi milik suspek termasuk pakaian bagi membantu siasatan. Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan tamat menjalani perintah pengawasan polis.

Bawa keluar tanpa izin

Siasatan awal mendapati 16 naskhah al-Quran yang ditemukan dipercayai dibawa keluar tanpa izin dari masjid dan surau di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah berkenaan diambil dari sebuah universiti di utara tanah air berdasarkan penemuan cop hak milik universiti berkenaan.

Pada hari sama, pemeriksaan turut dijalankan di rumah keluarga suspek di Senawang, Seremban. Pemeriksaan di bilik tempat tinggal suspek menemukan 36 kulit al-Quran yang kemudiannya dirampas untuk siasatan.

Polis percaya penemuan 36 kulit al-Quran itu mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di tepi padang bola, Taman Bandar Senawang pada 22 Ogos lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 295 Kanun Keseksaan. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.

The post Polis tahan lelaki berkait kes pembakaran, kecurian naskhah al-Quran di Seremban appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved