Belanjawan 2026: Ninja Van gesa peluasan pengecualian SST logistik

03/10/2025 - 15:36
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 3 Okt – Ninja Van Malaysia menggesa kerajaan mempertimbangkan peluasan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan logistik dalam Belanjawan 2026.
Ia bertujuan meredakan tekanan kos yang kini ditanggung perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lin Zheng berkata, walaupun Belanjawan 2025 telah memperkenalkan pelbagai inisiatif pendigitalan dan sokongan eksport, beban SST 6% yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2025 ke atas perkhidmatan pergudangan, pemenuhan pesanan dan penghantaran jarak akhir terus menambah kos berganda kepada PKS.
“Bagi penjual kecil yang memproses sekitar 500 pesanan sebulan, pengecualian caj SST boleh mengurangkan ribuan ringgit setiap tahun untuk dilaburkan semula dalam alat digital atau pengembangan perniagaan.
“Pengurangan kos logistik bukan sahaja membantu menstabilkan yuran penghantaran untuk pengguna, malah mempercepatkan penerimaan teknologi baharu dalam kalangan PKS.
“Ini termasuk sistem penjejakan bungkusan, perisian pesanan dan pengurusan inventori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) juga menegaskan bahawa kos logistik merupakan cabaran mendesak bagi PKS, khususnya dalam e-dagang.
Persatuan PKS Malaysia pula menyuarakan kebimbangan mengenai kesan ‘cukai ke atas cukai’ kerana sistem SST tidak membenarkan kredit cukai input.
Lin berkata, pengurangan kos logistik bakal memberi kesan positif lebih luas kepada sektor pengangkutan, peruncitan, e-dagang serta pembuatan, sekali gus menjadikan Malaysia lebih berdaya saing sebagai hab pengeluaran dan perdagangan serantau.
“PKS menyumbang 39.5% kepada KDNK negara pada 2024. Beban cukai perkhidmatan ke atas penghantaran bungkusan berisiko memperlahankan momentum ini.
“Dengan peluasan pengecualian SST, kerajaan berpeluang memperkukuh daya saing PKS serta memastikan pengguna menikmati akses mampu milik kepada barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Ninja Van Malaysia turut mencadangkan agar kerajaan menilai semula kerangka cukai sedia ada termasuk kemungkinan peralihan semula kepada GST, bagi menyelesaikan isu berlapis cukai dalam sektor logistik. - DagangNews.com
standard


