amree09/10/2026 - 17:42 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt — Kerajaan akan meningkatkan ketelusan perolehan awam dengan menzahirkan maklumat projek, termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak, susulan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa mulai 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada agenda reformasi Kerajaan MADANI bagi memperkukuh tatakelola, memastikan wang rakyat diurus dengan amanah serta mencegah salah guna kuasa dan penyelewengan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata kerajaan turut merancang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola syarikat kerajaan dan badan berkanun yang menguruskan wang serta aset rakyat.
"Langkah berkenaan bertujuan mengelakkan skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kemelut Tabung Haji dan FELDA daripada berulang," tegas Anwar.
Dalam usaha memperkukuh pengurusan kewangan awam, kerajaan turut menetapkan kutipan bayaran balik pinjaman disalurkan secara langsung kepada badan berkanun Persekutuan, termasuk pinjaman pendidikan dan perniagaan, hanya boleh digunakan semula bagi tujuan serta kumpulan sasaran yang diluluskan.
Ketetapan itu turut merangkumi hasil faedah daripada dana berkenaan, selaras dengan usaha memastikan peruntukan kerajaan tidak disalahgunakan untuk membiayai perbelanjaan atau program di luar kelulusan asal.
Selain itu, kerajaan akan memperkukuh kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat bagi mempercepat penyampaian kemudahan kepada rakyat, termasuk bekalan elektrik di kawasan desa dan peluasan capaian internet melalui penggabungan dana kerajaan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Bagi memperhebat usaha membanteras rasuah dan meningkatkan penguatkuasaan, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion untuk memperkukuh keupayaan operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Anwar berkata, reformasi institusi turut merangkumi usaha mengembalikan autonomi Parlimen, memperkukuh perlindungan pemberi maklumat dan saksi serta menegakkan hak asasi melalui pembaharuan undang-undang.
Beliau menegaskan bahawa agenda reformasi kerajaan akan diteruskan, termasuk usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan mengasingkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
"Ekonomi yang kukuh memerlukan institusi yang berwibawa, penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan pengurusan kewangan negara yang telus," tambah beliau. - DagangNews.com






