sarah12/10/2026 - 11:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt --Penggendali platform e-hailing inDrive menggesa Kerajaan memastikan bantuan kepada pekerja gig seharusnya diberikan secara adil kepada semua pemandu yang layak tanpa mengira platform berlesen yang digunakan.
Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, komitmen Kerajaan untuk memperkukuh jaminan pendapatan dan perlindungan sosial pekerja gig wajar disambut baik, namun pelaksanaan bantuan perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem e-hailing.
Beliau berkata, pengumuman pakej bernilai RM160 juta yang dibiayai bersama oleh Kerajaan dan Grab menimbulkan persoalan sama ada pemandu daripada platform e-hailing berlesen lain turut layak menikmati manfaat yang sama.
“Persoalan penting ialah sama ada pemandu yang menggunakan platform e-hailing berlesen lain turut berpeluang menikmati manfaat yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, inDrive mempunyai ribuan pemandu di seluruh Malaysia, sekali gus menunjukkan kepentingan memastikan bantuan kerajaan dapat dinikmati semua pemandu yang memenuhi syarat kelayakan.
“Bantuan yang disokong Kerajaan perlu berlandaskan syarat kelayakan yang telus dan inklusif supaya semua pemandu yang layak mendapat peluang yang saksama, tanpa mengira platform e-hailing berlesen yang digunakan,” katanya.
Beliau berkata, peluang kerjasama dengan Kerajaan juga wajar diperluas kepada pengendali e-hailing lain bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada lebih ramai pemandu yang layak.
Dalam pada itu, inDrive berpandangan penilaian terhadap pendapatan mampan pemandu tidak seharusnya hanya berdasarkan pendapatan kasar, sebaliknya perlu mengambil kira pendapatan bersih selepas ditolak kos operasi seperti bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan insurans.
“Pendapatan pemandu yang mampan bukan sekadar mengenai jumlah pendapatan kasar, tetapi jumlah bersih yang benar-benar dibawa pulang selepas mengambil kira kos operasi,” katanya.
Azlan berkata, kerangka pendapatan minimum yang dicadangkan bagi 2027 perlu mengambil kira kos sebenar yang ditanggung pemandu, selain mengekalkan fleksibiliti ekonomi gig untuk rakyat menjana pendapatan mengikut keperluan masing-masing.
Beliau turut menyambut baik insentif tambahan caruman padanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta sokongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berpotensi membantu pekerja gig memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan inisiatif berkenaan bergantung pada syarat kelayakan yang jelas, kaedah caruman yang mudah diakses serta pelaksanaan yang mengambil kira perbezaan tahap pendapatan pemandu, termasuk mereka yang bekerja secara sambilan atau menggunakan lebih daripada satu platform.
Sehubungan itu, inDrive menggesa Kerajaan memberikan penjelasan lanjut mengenai kelayakan menerima pakej RM160 juta itu, termasuk kemungkinan peluang seumpamanya turut ditawarkan kepada pengendali e-hailing berlesen lain dan pemandu mereka.
“Kerajaan mempunyai peluang untuk mewujudkan persekitaran persaingan yang adil, yang bukan sahaja melindungi kebajikan pemandu, malah menggalakkan persaingan sihat serta memastikan pengguna terus mempunyai pilihan,” katanya.
inDrive bersedia bekerjasama dengan Kerajaan serta pihak berkepentingan industri bagi merealisasikan matlamat berkenaan. - DagangNews.com






