GEORGE TOWN – Pulau Pinang membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 bilion dengan unjuran defisit hanya RM5.62 juta, sekali gus mencatatkan defisit terendah dalam sejarah belanjawan negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, unjuran berkenaan jauh lebih rendah berbanding defisit RM19.92 juta yang dianggarkan bagi 2026.
Menurutnya, hasil negeri bagi 2027 dianggarkan sebanyak RM1.069 bilion, meningkat RM800,000 atau 0.07 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah perbelanjaan mengurus bagi 2027 pula berkurangan sebanyak RM13.49 juta atau 1.24 peratus berbanding RM1.088 bilion pada 2026.
“Dengan mengambil kira anggaran hasil negeri sebanyak RM1.069 bilion berbanding anggaran perbelanjaan RM1.074 bilion, Belanjawan 2027 mencatatkan defisit terendah dalam sejarah belanjawan Pulau Pinang, iaitu RM5.62 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 Pulau Pinang pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini, pada Jumaat.
Mengenai kedudukan kewangan negeri, Kon Yeow berkata, kutipan hasil Pulau Pinang bagi 2025 meningkat kepada RM1.26 bilion berbanding RM810.46 juta pada 2024.
Katanya, kerajaan negeri turut merekodkan lebihan sebanyak RM366.93 juta pada 2025 berbanding defisit RM174.09 juta pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, baki Akaun Hasil Disatukan meningkat daripada RM155.94 juta pada akhir 2024 kepada RM522.87 juta pada akhir 2025, sebelum mencatatkan RM651.28 juta setakat 30 Oktober ini.
“Bagi tempoh Januari hingga 30 Oktober tahun ini, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM847.53 juta, bersamaan 79.35 peratus daripada anggaran hasil tahunan.
“Kerajaan negeri akan terus memantau kutipan hasil serta mempergiat tindakan susulan bersama jabatan pemungut bagi memastikan sasaran hasil 2026 sebanyak RM1.068 bilion dapat dicapai,” ujarnya.
Dalam Belanjawan 2027 itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM280.17 juta bagi perbelanjaan pembangunan, berkurangan RM38.4 juta atau 12.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kon Yeow menambah, sebanyak 514 projek pembangunan disenaraikan untuk dilaksanakan pada tahun depan, meliputi infrastruktur awam, kemudahan komuniti, pembangunan sukan serta projek ekonomi strategik.
“Antara keutamaan utama ialah projek memperkukuh rangkaian pengangkutan dan perhubungan negeri, termasuk pengambilan tanah bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT), Jalan Penghubung Lapangan Terbang dan laluan ke Pulau Silikon.
“Ia turut merangkumi pembangunan Fasa Dua Gurney Bay serta projek berkaitan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, belanjawan itu turut merangkumi sumbangan sebanyak RM240 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri berbanding RM265 juta pada 2026.
Dalam perkembangan berkaitan kebajikan rakyat, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program i-Sejahtera dengan peruntukan RM58 juta bagi 2027.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan program baharu, Mempelai Emas, di bawah i-Sejahtera yang menawarkan sumbangan sekali beri sebanyak RM500 kepada pasangan pengantin baharu yang layak di Pulau Pinang.
“Sehingga 30 September lalu, kerajaan negeri telah menyalurkan RM57.8 juta menerusi dua fasa pertama program i-Sejahtera yang memberi manfaat kepada 299,504 penerima terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah.
“Selain itu, kerajaan negeri turut mengekalkan pemberian rebat cukai tanah sebanyak 50 peratus bagi 2027, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan cukai tanah sehingga 29 Oktober lalu mencecah RM167.59 juta berbanding RM116.05 juta pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM51.54 juta atau 44.41 peratus.
“Peningkatan itu dicatatkan walaupun kerajaan negeri memberikan rebat 50 peratus serta pengurangan hasil melalui rayuan pemilik tanah yang secara keseluruhannya melibatkan penyusutan hasil hampir RM35.7 juta,” katanya.






