Belanjawan 2027: Doktor kontrak boleh tarik nafas lega! 9,000 ditawar jawatan tetap

LocalHealth & Fitness
9 Oct 2026 • 8:49 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyelesaikan proses pelantikan tetap 9,000 doktor kontrak sepanjang 2027, sekali gus menoktahkan sistem doktor kontrak interim, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu memerlukan pendekatan pengurusan yang sedikit berbeza, bagi memastikan proses pelantikan dapat disegerakan, selain mengambil kira syarat ditetapkan serta kumpulan pengambilan atau kohort doktor terbabit.

“Apa pun kita akan laksanakan dengan cara yang mungkin agak sedikit inovatif untuk ditangani dalam waktu seberapa segera. Ini memerlukan sedikit kelainan pengurusannya, penjelasannya, pendekatannya. Jangan risau, 2027 kita noktahkan,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Image from: Belanjawan 2027: Doktor kontrak boleh tarik nafas lega! 9,000 ditawar jawatan tetap

Ketika membentangkan belanjawan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun depan, manakala doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.

Perdana Menteri turut memaklumkan sejak 2023, Kerajaan MADANI telah melantik secara tetap lebih 15,000 doktor kontrak, termasuk 4,000 pada tahun ini.

Mengulas sama ada inisiatif berkenaan mampu menyelesaikan masalah kekurangan doktor, Dzulkefly menyifatkannya sebagai langkah positif yang dapat membantu menangani cabaran tenaga kerja kesihatan yang dihadapi KKM, khususnya pada tahun ini.

Image from: Belanjawan 2027: Doktor kontrak boleh tarik nafas lega! 9,000 ditawar jawatan tetap

Foto arkib: Malay Mail / Ahmad Zamzahuri

Sementara itu, beliau berkata peruntukan RM47.7 bilion yang diterima KKM menerusi Belanjawan 2027, merangkumi RM40.95 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM6.75 bilion untuk pembangunan, yang membolehkan kementerian meneruskan agenda reformasi kesihatan.

Beliau berkata antara inisiatif memperkukuh tenaga kerja kesihatan ialah peningkatan Bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan, yang akan memanfaatkan 47,000 anggota paramedik dan jururawat, selain kenaikan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.

Image from: Belanjawan 2027: Doktor kontrak boleh tarik nafas lega! 9,000 ditawar jawatan tetap

Mengenai perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman khususnya Sabah dan Sarawak, Dzulkefly berkata KKM akan terus memperkasakan penyampaian rawatan, selaras dengan matlamat Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) supaya tiada golongan tercicir daripada menerima perkhidmatan kesihatan.

Mengulas cadangan supaya KKM memiliki helikopter sendiri bagi perkhidmatan kesihatan udara, beliau berkata kementerian lebih mengutamakan pendekatan sewaan, kerana lebih efektif serta tidak membebankan KKM dengan kos penjagaan dan penyelenggaraan aset berkenaan.

Ditanya sama ada kemudahan kesihatan negara kini berdepan tekanan akibat situasi jerebu, Dzulkefly berkata kemudahan kesihatan KKM masih mampu menangani peningkatan kes berkaitan pencemaran udara itu, meskipun mengakui berlaku pertambahan ketara kes berkaitan pernafasan susulan keadaan itu.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti luar, khususnya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 160 atau 200, selain mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit sedia ada.

Sumber: Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved