
ISU gaji minimum terus menjadi antara perkara penting dalam agenda ekonomi Malaysia kerana berkait rapat dengan taraf hidup pekerja, kos sara hidup, produktiviti, ketidaksamaan pendapatan dan daya saing perusahaan.
Kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 sebulan bermula 1 Februari 2025. Pada masa sama, kerajaan turut memberi perhatian kepada konsep Gaji Kehidupan Wajar, iaitu sekitar RM3,100 sebulan, yang dilaksanakan Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai usaha meningkatkan pendapatan isi rumah serta menggalakkan perbelanjaan domestik.
Persoalan utama ialah sama ada gaji minimum RM1,700 masih mencukupi bagi membolehkan seorang pekerja menampung keperluan asas seperti perumahan, makanan, pengangkutan, utiliti, kesihatan dan pendidikan?
Dengan peningkatan kos sara hidup, perbelanjaan keperluan asas semakin memberi tekanan kepada isi rumah berpendapatan rendah. Justeru, isu gaji minimum tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah pendapatan yang diterima tetapi turut mengambil kira sejauh mana pendapatan berkenaan mampu menjamin kehidupan yang wajar kepada pekerja.
Walaupun kadar inflasi Malaysia berada pada 1.9 peratus pada Jun 2026, namun kadar inflasi yang rendah tidak semestinya menunjukkan tekanan kos sara hidup sudah selesai.
Golongan berpendapatan rendah lazimnya memperuntukkan sebahagian besar pendapatan kepada keperluan asas. Oleh itu, kenaikan harga walaupun kecil bagi makanan, sewa rumah, pengangkutan dan utiliti boleh memberi kesan lebih besar kepada kelompok ini.
Malah, kerajaan dalam Prabelanjawan 2027 turut menekankan keperluan menangani kos sara hidup dan memperkukuh pendapatan isi rumah.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan median gaji pekerja sektor formal ialah RM3,027 pada Mac 2026, manakala 10 peratus pekerja dengan gaji terendah menerima RM1,700 atau kurang.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara mengikut negeri. Median gaji di Kuala Lumpur ialah RM4,527 dan Selangor RM3,445, berbanding RM1,827 di Kelantan dan RM1,855 di Perlis.
Keadaan ini menunjukkan satu kadar gaji minimum nasional tidak semestinya mencerminkan perbezaan kos kehidupan mengikut lokasi.
Nilai RM1,700 mungkin mempunyai kuasa beli yang lebih rendah bagi pekerja di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar yang mencatatkan kos sara hidup lebih rendah. Oleh itu, dasar gaji minimum perlu dilihat bersama kos sara hidup sebenar, bukannya semata-mata berdasarkan kadar inflasi keseluruhan.
Kenaikan gaji minimum pula perlu diseimbangkan dengan peningkatan produktiviti. Produktiviti yang lebih tinggi memberikan ruang kepada majikan untuk menawarkan pendapatan lebih baik tanpa menyebabkan peningkatan kos secara berlebihan.
Data terkini DOSM menunjukkan produktiviti buruh Malaysia pada suku kedua 2026 meningkat 5.5 peratus, dengan nilai tambah bagi setiap jam bekerja mencapai RM46.50. Pertumbuhan produktiviti turut direkodkan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian.
Selain itu, kajian DOSM menunjukkan peningkatan gaji boleh memberi kesan positif terhadap produktiviti, antaranya melalui peningkatan motivasi pekerja, pengurangan kadar pertukaran pekerja serta dorongan kepada majikan untuk menggunakan teknologi dan proses kerja yang lebih cekap.
Namun, kenaikan gaji yang terlalu tinggi tanpa disertai peningkatan produktiviti juga berpotensi meningkatkan kos operasi, sekali gus memberi tekanan kepada harga dan peluang pekerjaan. Justeru, pendekatan yang lebih mampan ialah gaji lebih tinggi melalui produktiviti lebih tinggi, dengan peningkatan pendapatan disokong oleh pembangunan kemahiran, teknologi, automasi, inovasi dan kecekapan perusahaan.
PENDEKATAN GAJI MENYELURUH
Dalam konteks ini, Belanjawan 2027 menjadi peluang untuk kerajaan beralih daripada pendekatan yang hanya menetapkan gaji minimum kepada strategi lebih menyeluruh yang merangkumi gaji minimum, gaji progresif, Gaji Kehidupan Wajar dan peningkatan produktiviti.
Bagaimanapun, kerajaan tidak semestinya perlu menaikkan gaji minimum secara terus kepada RM3,100 kerana jumlah itu merupakan penanda aras Gaji Kehidupan Wajar, bukannya kadar gaji minimum berkanun. Sebaliknya, satu laluan peningkatan pendapatan secara berperingkat boleh diwujudkan.
Antara saranan kepada kerajaan dalam Belanjawan 2027 ialah:
Pertama, kerajaan perlu mewujudkan formula semakan gaji minimum yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira kos sara hidup, median gaji, produktiviti, inflasi dan pertumbuhan ekonomi. Semakan berkala berasaskan data juga dapat menjadikan dasar gaji lebih telus serta responsif terhadap perubahan ekonomi.
Kedua, RM3,100 boleh dijadikan sasaran Gaji Kehidupan Wajar secara berperingkat dalam jangka sederhana, bukannya diperkenalkan sebagai kadar minimum baharu secara serta-merta.
Laluan dasar ini boleh dirangka sebagai:
RM1,700 Gaji Minimum → Gaji Progresif → Gaji Kehidupan Wajar
Pendekatan tersebut membolehkan pendapatan pekerja meningkat secara berperingkat berdasarkan kemahiran, pengalaman dan produktiviti.
Ketiga, kerajaan perlu menyediakan insentif kepada majikan yang meningkatkan gaji seiring dengan produktiviti. Belanjawan 2027 boleh menawarkan insentif bersasar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan yang menaikkan pendapatan pekerja, melaksanakan automasi dan kecerdasan buatan (AI), meningkatkan produktiviti, menyediakan latihan peningkatan dan penyesuaian kemahiran, mewujudkan laluan kenaikan kerjaya serta melaksanakan gaji progresif.
Pendekatan ini juga selari dengan penekanan kerajaan terhadap pekerjaan bernilai tinggi, AI, pendigitalan, industri semikonduktor dan peningkatan produktiviti dalam Belanjawan 2027.
Keempat, kos sara hidup perlu dikurangkan melalui dasar bersasar. Kerajaan tidak boleh bergantung kepada kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya tekanan perbelanjaan isi rumah perlu ditangani melalui penyediaan perumahan mampu milik, pengangkutan awam yang lebih cekap, sokongan penjagaan kanak-kanak, bantuan makanan bersasar, perkhidmatan kesihatan, pendidikan yang mampu milik serta bantuan tunai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dengan pendekatan ini, kerajaan bukan sahaja dapat membantu pekerja memperoleh pendapatan lebih tinggi, malah meningkatkan kuasa beli mereka.
Pada masa sama, majikan dapat mengekalkan daya saing melalui peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi dan inovasi.
Oleh itu, Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan bukan sekadar kepada persoalan berapa tinggi kadar gaji minimum tetapi bagaimana memastikan pendapatan pekerja benar-benar mencukupi untuk menampung kos sara hidup, seiring dengan peningkatan produktiviti dan daya saing ekonomi negara.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Masturah Ma’in ialah pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor.
The post Belanjawan 2027 : Gaji minimum perlu seiring kos sara hidup appeared first on Utusan Malaysia.





