Sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi tumpas, nilai rampasan cecah RM2.8 juta

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi tumpas, nilai rampasan cecah RM2.8 juta

BAGAN DATUK – Satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi serbuan yang dilakukan di sebuah jeti perikanan di sini pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, menerusi Ops Taring Landai berkenaan, sebanyak 25,500 diesel bersubsidi yang diseleweng dirampas pihaknya dengan nilai bahan api itu adalah RM124,950.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lokasi berkenaan merupakan sebuah jeti persendirian yang digunakan bagi aktiviti pendaratan ikan dan hasil laut.

“Jeti itu telah digunakan sejak dua bulan lalu semata-mata untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah lori tanker berkapasiti 30 tan sedang memindahkan minyak diesel daripada tiga buah bot yang berada di jeti tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Operasi bersepadu tersebut dilaksanakan secara bersama antara KPDN Perak Cawangan Teluk Intan dengan Pasukan Polis Marin, Kg. Acheh Wilayah Satu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati pemilik premis tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan diesel yang sah.

Kamalludin berkata, minyak diesel berkenaan disyaki diperoleh melalui saluran subsidi nelayan pada harga RM1.65 seliter.

Beliau berkata, ia dipercayai akan dijual semula kepada pihak tertentu di Pulau Pinang bagi kegunaan industri seperti kuari, kilang dan pengangkutan pada harga lebih tinggi dianggarkan antara RM4 hingga RM5 seliter.

“KPDN telah mengambil tindakan terhadap pemilik premis dan pembeli kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Ia termasuklah menyita minyak diesel dianggarkan 25,500 liter, sebuah lori tanker 30 tan, tiga buah bot, sebuah skid tank, pam beserta hos dan beberapa dokumen lain yang berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,824,950 yang merangkumi nilai minyak diesel RM124,950.

“Dua individu, masing-masing berbangsa India iaitu pemandu lori dan warganegara Myanmar selaku tekong bot telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi tumpas, nilai rampasan cecah RM2.8 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved