amree09/10/2026 - 17:05 Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt — Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menggembleng pelaburan domestik berjumlah RM25 bilion menerusi program GEAR-uP bagi memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dalam sektor bernilai tinggi.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GLIC diberi tanggungjawab untuk memperkukuh daya tahan ekonomi domestik serta menyokong pembangunan syarikat tempatan agar mampu berkembang dalam industri strategik.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Antara inisiatif utama, Sime Darby Property, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menubuhkan New Economy Venture Fund bernilai RM1.25 bilion bagi membangunkan pusat data dan aset logistik di Elmina, Selangor.
Sementara itu, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM1.2 bilion bagi membantu syarikat semikonduktor tempatan beralih ke segmen rantaian nilai yang lebih tinggi.
Usaha itu turut merangkumi kerjasama antara Khazanah dan Kerajaan Negeri Selangor untuk menubuhkan dana pelaburan bagi pembangunan industri semikonduktor di negeri berkenaan.
Bagi menyokong pembangunan syarikat pemula niaga, Jelawang Capital milik Khazanah dan Dana Perintis KWAP akan melabur RM450 juta.
Selain itu, sejumlah RM2.1 bilion menerusi Dana Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Dana Pemacu KWAP dan Dana MTC Khazanah akan dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan syarikat peringkat pertengahan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.
Kerajaan turut menyediakan RM270 juta bagi menarik modal swasta menerusi platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), khusus untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat peringkat pertengahan serta perusahaan sosial.
Dalam pada itu, pengecualian cukai pendapatan bagi pelabur individu menerusi platform ECF dan pelabur yang membiayai syarikat pemula niaga teknologi peringkat awal dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030.
Kerajaan juga memperuntukkan RM41 juta kepada Cradle Fund bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup serta menyediakan geran untuk pembangunan prototaip dan pengkomersialan.
Keseluruhan inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada pembiayaan, merancakkan pelaburan domestik dan membantu syarikat tempatan meningkatkan keupayaan dalam sektor bernilai tinggi. - DagangNews.com






