Belanjawan 2027: GLIC gerakkan pelaburan domestik RM25 bilion, tumpu sektor bernilai tinggi

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 5:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: GLIC gerakkan pelaburan domestik RM25 bilion, tumpu sektor bernilai tinggi Image from: Belanjawan 2027: GLIC gerakkan pelaburan domestik RM25 bilion, tumpu sektor bernilai tinggi amree09/10/2026 - 17:05 Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt — Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menggembleng pelaburan domestik berjumlah RM25 bilion menerusi inisiatif GEAR-uP bagi memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dan memacu pertumbuhan sektor bernilai tinggi.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi membina daya tahan ekonomi domestik serta meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing dalam industri strategik.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara tersebut ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

"Pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2026 meningkat 11.7% kepada RM218.5 bilion, sekali gus meletakkan negara pada landasan untuk mencatat rekod pelaburan tertinggi bagi tahun ketiga berturut-turut," katanya.

 

Antara inisiatif utama ialah penubuhan New Economy Venture Fund berjumlah RM1.25 bilion oleh Sime Darby Property, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi membangunkan pusat data (DC) serta aset logistik di Elmina, Selangor.

 

Selain itu, Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM1.2 bilion bagi meningkatkan keupayaan syarikat semikonduktor tempatan untuk beralih ke segmen bernilai lebih tinggi, termasuk melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor.

 

Bagi menyokong pembangunan syarikat pemula niaga, Jelawang Capital Khazanah dan Dana Perintis KWAP akan melabur RM450 juta.

 

Sementara itu ujar Anwar, Dana NIMP, Dana Pemacu KWAP dan Dana MTC Khazanah dengan jumlah keseluruhan RM2.1 bilion akan dimanfaatkan bagi memperkukuh syarikat peringkat pertengahan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.

 

Kerajaan turut menyediakan RM270 juta bagi menarik modal swasta melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), khususnya untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat peringkat pertengahan serta perusahaan sosial.

 

"Selain itu, pengecualian cukai pendapatan bagi pelabur individu melalui platform ECF dan pelabur mangkin yang membiayai syarikat pemula niaga teknologi peringkat awal dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030," katanya.

 

Cradle Fund pula jelas Anwar, menerima peruntukan RM41 juta bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup serta menyediakan geran pembangunan prototaip dan pengkomersialan.

 

Dalam usaha memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan, program SemiconStart oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) akan menyediakan pelaburan ekuiti susulan kepada syarikat pemula niaga, termasuk dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembungkusan termaju.

 

Inisiatif berkenaan bertujuan memperluas akses kepada pembiayaan, mempercepat pengkomersialan teknologi dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri bernilai tinggi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved