Belanjawan 2027: Had pelepasan cukai individu naik kepada RM12,000

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 3:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Had pelepasan cukai individu naik kepada RM12,000 Image from: Belanjawan 2027: Had pelepasan cukai individu naik kepada RM12,000 liza09/10/2026 - 15:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt – Kerajaan mencadangkan peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi banjaran pendapatan bercukai tertentu, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan beban cukai individu dengan kenaikan had pelepasan cukai berkenaan dibuat selepas tidak disemak sejak 2010.

 

“Di bawah cadangan itu, kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18%, manakala bagi banjaran RM100,000 hingga RM150,000, kadarnya diturunkan kepada 24%. Kedua-dua kadar itu dikurangkan sebanyak satu mata peratusan.

 

“Selain itu, kerajaan turut memperluas skop pelepasan cukai individu meliputi perbelanjaan rawatan perubatan yang merangkumi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, selain penjagaan ibu bapa dan datuk nenek yang tidak lagi terhad kepada perbelanjaan kesihatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Pelepasan cukai bagi peralatan sukan turut diperluas kepada pembelian kasut sukan, manakala pelepasan yuran pengajian dan kemahiran merangkumi semua bidang pengajian serta tuisyen anak.

 

Skop pelepasan cukai gaya hidup juga diperluas meliputi langganan kecerdasan buatan (AI), selain kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.

 

Pada masa sama, kerajaan mengambil pendekatan progresif dengan menyelaraskan kadar cukai pendapatan bagi individu berpendapatan melebihi RM1 juta kepada 30%.

 

Secara keseluruhan, peningkatan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu itu dijangka memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved