Belanjawan 2027: Juwai IQI gesa pengecualian duti setem rumah pertama dilanjutkan lagi

7 Sep 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Juwai IQI gesa pengecualian duti setem rumah pertama dilanjutkan lagi Image from: Belanjawan 2027: Juwai IQI gesa pengecualian duti setem rumah pertama dilanjutkan lagi amree07/09/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept — Pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama perlu dilanjutkan lagi menerusi Belanjawan 2027 bagi mengelakkan kos pemilikan kediaman meningkat dan menjejaskan kemampuan rakyat untuk memiliki rumah sendiri, menurut Juwai IQI.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, pengecualian itu memberi manfaat kepada lebih tiga daripada empat pembeli rumah kerana kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah merangkumi kira-kira 76% daripada keseluruhan transaksi kediaman.

 

Ketika ini, pengecualian tersebut meliputi duti setem bagi instrumen pindah milik dan perjanjian pinjaman untuk rakyat Malaysia yang membeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, sekali gus memberikan penjimatan sehingga RM11,250 kepada pembeli.

 

"Tanpa pengecualian itu, pembeli rumah kali pertama bernilai RM500,000 dengan pembiayaan 90% perlu menanggung kira-kira RM9,000 bagi duti setem pindah milik dan RM2,250 bagi perjanjian pinjaman," jelas beliau dalam kenyataan.

 

Tambah Ansari, kegagalan melanjutkan pengecualian sehingga 2028 juga boleh menimbulkan ketidakpastian kepada pembeli rumah, khususnya mereka yang membuat tempahan kediaman pada 2027 tetapi hanya menandatangani perjanjian jual beli pada 2028.

 

Secara kelaziman ujar beliau, kelayakan pengecualian dikaitkan dengan tarikh perjanjian jual beli (SPA) ditandatangani dan bukannya tarikh tempahan rumah berkenaan.

 

Kashif Ansari_DagangNews2026
KASHIF ANSARI

 

Juwai IQI turut memberi amaran ketidaktentuan mengenai insentif itu boleh menjejaskan bekalan rumah mampu milik apabila pemaju berkemungkinan menangguhkan atau mengetepikan projek baharu sehingga terdapat kejelasan mengenai dasar berkenaan.

 

"Kami yakin kerajaan akan melanjutkan pengecualian itu kerana pemilikan dan kemampuan memiliki atau menyewa rumah menjadi antara fokus utama dalam kenyataan pra-Belanjawan 2027 Kementerian Kewangan (MoF), walaupun insentif berkenaan tidak disebut secara khusus," kata Ansari.

 

Menurut anggaran Juwai IQI, kos pengecualian duti setem kepada kerajaan adalah sekitar RM500 juta hingga RM1 bilion setahun, berdasarkan kira-kira 60,000 hingga 100,000 transaksi yang layak, berbanding jumlah keseluruhan Belanjawan 2027 yang besar.

 

Selain lanjutan pengecualian duti setem, ia turut menggesa kerajaan membantu pembeli mendapatkan pembiayaan dalam segmen rumah mampu milik, memandangkan kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan masih tinggi, sekali gus menyukarkan golongan yang sebenarnya mampu memiliki rumah.

 

Ansari juga mencadangkan kempen pemilikan rumah diperkenalkan semula kerana gabungan pengecualian duti setem dan diskaun pemaju boleh membantu pasangan muda mengurangkan kos pembelian serta meningkatkan peluang kelulusan pinjaman, sekali gus menangani cabaran kemampuan dan pembiayaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved