Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak gesa geran permulaan dimasukkan dalam Belanjawan 2027

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak gesa geran permulaan dimasukkan dalam Belanjawan 2027 Image from: Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak gesa geran permulaan dimasukkan dalam Belanjawan 2027 amree19/08/2026 - 13:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Kos permulaan yang tinggi menjadi antara cabaran utama pengusaha pusat jagaan kanak-kanak berdaftar, sekali gus berpotensi mengehadkan pertumbuhan pusat jagaan yang memenuhi standard keselamatan dan kawal selia ditetapkan kerajaan.

 

Sehubungan itu, Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia menggesa kerajaan memperkenalkan Geran Permulaan Sekali Bayar bagi Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang baru berdaftar menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu pengusaha menampung kos awal penubuhan.

 

Pengasas dan Pengerusinya, Simon Ng, berkata pusat jagaan yang baru berdaftar perlu menanggung pelbagai perbelanjaan permulaan yang besar, termasuk kerja pengubahsuaian, kelengkapan keselamatan kebakaran, kemudahan pembelajaran serta kos pentadbiran dan pendaftaran.

 

"Bantuan kewangan secara sekali bayar itu boleh mengurangkan halangan kewangan kepada usahawan yang mahu menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar, selain menggalakkan lebih ramai pengusaha memasuki sektor berkenaan secara sah dan teratur," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata pertambahan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar akan memberikan ibu bapa lebih banyak pilihan penjagaan yang berkualiti, khususnya bagi keluarga yang memerlukan perkhidmatan penjagaan selepas waktu persekolahan.

 

Inisiatif itu juga dijangka membantu mengurangkan tekanan kewangan keluarga, terutama golongan M40 yang berdepan peningkatan kos sara hidup serta keperluan mendapatkan perkhidmatan penjagaan anak yang selamat dan berkualiti.

 

Simon Ng
SIMON NG

 

Simon berkata pertumbuhan pusat jagaan berdaftar bukan semata-mata berkaitan penambahan kapasiti penjagaan, malah penting bagi meningkatkan standard keselamatan dan kawal selia persekitaran pembelajaran serta penjagaan kanak-kanak.

 

"Kewujudan lebih banyak pusat jagaan yang mematuhi keperluan pendaftaran dan peraturan berkaitan turut berupaya meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan serta kualiti perkhidmatan yang disediakan," jelas beliau.

 

Justeru, beliau menggesa kerajaan memasukkan sektor pusat jagaan kanak-kanak berdaftar sebagai sebahagian daripada kerangka sokongan pendidikan dan pembangunan keluarga negara ketika merangka Belanjawan 2027.

 

Menurut persatuan itu, dasar yang disasarkan kepada sektor berkenaan penting bagi memastikan pertumbuhan industri berlaku secara mampan, selain membantu memperkukuh kedudukan pengusaha kecil dan sederhana yang menyediakan perkhidmatan pendidikan serta penjagaan kanak-kanak.

 

Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia berkata cadangan geran tersebut bukan sahaja mampu membantu mengembangkan penyedia perkhidmatan pendidikan berskala kecil dan sederhana, malah mengurangkan beban kewangan keluarga serta menjadi pelaburan jangka panjang untuk manfaat kanak-kanak, keluarga dan komuniti setempat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved