liza29/10/2026 - 16:05 Gambar FB Exco Kelantan - Datuk Wan Roslan Wan Hamat Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt – Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam negeri Gred Utama B dan ke bawah, termasuk kakitangan lantikan kontrak dengan peruntukan keseluruhan RM7.13 juta.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata bantuan itu turut diberikan kepada lantikan politik, manakala kadar bayaran bagi kumpulan berkenaan akan ditentukan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, pembayaran bantuan khas itu akan dibuat secara berperingkat, iaitu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan.
“Pemberian berkenaan merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan agenda pembangunan Kelantan serta menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Mohd Nassuruddin mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim hari ini.
Kelantan membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.383 bilion dengan tumpuan kepada pembangunan pendidikan Islam, kebajikan rakyat, infrastruktur asas dan pertumbuhan ekonomi di sebalik anggaran hasil negeri yang lebih rendah daripada perbelanjaan mengurus.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.087 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM296 juta disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM1.082 bilion, terdiri daripada hasil cukai RM238.8 juta, hasil bukan cukai RM314.5 juta dan terimaan bukan hasil RM529.29 juta. - DagangNews.com






