liza29/10/2026 - 14:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt – Kerajaan Negeri Kelantan membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.383 bilion dengan tumpuan kepada pembangunan pendidikan Islam, kebajikan rakyat, infrastruktur asas dan pertumbuhan ekonomi di sebalik anggaran hasil negeri yang lebih rendah daripada perbelanjaan mengurus.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.087 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM296 juta disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM1.082 bilion, terdiri daripada hasil cukai RM238.8 juta, hasil bukan cukai RM314.5 juta dan terimaan bukan hasil RM529.29 juta.
Perbezaan antara anggaran hasil dengan perbelanjaan mengurus menunjukkan perbezaan sebanyak RM4.31 juta yang memerlukan kawalan perbelanjaan, peningkatan kutipan hasil dan penilaian semula terhadap projek yang kurang mendesak.
Ekonomi Kelantan berkembang 4.1%
Beliau berkata dari segi prestasi ekonomi, Kelantan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.1% pada 2025, meningkat daripada 3.3% pada 2024.
“Nilai KDNK pada harga malar turut meningkat kepada RM29.8 bilion berbanding RM28.6 bilion pada tahun sebelumnya.
“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri dengan sumbangan 71.8% dan nilai ditambah RM21.4 bilion, diikuti sektor pertanian yang menyumbang 19.8% atau RM5.9 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Sektor pembuatan pula berkembang 9.3% pada 2025 berbanding 2.2% pada tahun sebelumnya, mengatasi pertumbuhan sektor pembuatan negara sebanyak 4.5%.
Pada tahun sama, Kelantan merekodkan 87 projek pelaburan diluluskan bernilai RM1.4729 bilion, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pelaksanaan projek infrastruktur strategik, termasuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 2, kemudahan bekalan air di Machang, Jambatan Palekbang–Kota Bharu, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama serta pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Infrastruktur dan ekonomi sebagai pemacu pembangunan
Bagi meningkatkan kemudahan awam, sebanyak RM240.6 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan kampung, jalan negeri, jalan pihak berkuasa tempatan dan jalan pertanian. Pembangunan Madinatul Riyadhah Bukit Merbau pula menerima RM27 juta, manakala RM5.24 juta disediakan bagi terminal dan kemudahan pengangkutan awam KB Sentral.
Dalam sektor ekonomi, kerajaan negeri menyediakan RM3.8 juta bagi program Usahawan Berdikari, RM3 juta untuk Skim Kredit Mikro Usahawan dan RM700,000 bagi Program Pembangunan Usahawan Tani.
Sebanyak RM5.6 juta turut diperuntukkan bagi pembangunan pelancongan dan kebudayaan serta RM2 juta untuk infrastruktur pelancongan.
Sementara itu, sebanyak RM4.60 juta diperuntukkan bagi inisiatif teknologi hijau, termasuk RM4.40 juta untuk penyediaan 2,000 unit lampu solar. Bagi pengurusan risiko bencana, RM4.67 juta disediakan untuk rancangan perlongkangan dan pembentungan, manakala RM1.95 juta diperuntukkan bagi pengurusan bencana alam.
Hasil tanah kekal sumber utama
Beliau berkata hasil tanah dianggarkan sebanyak RM373.57 juta, diikuti hasil hutan RM70.4 juta dan hasil perlombongan RM48.41 juta bagi 2027.
Anggaran hasil perlombongan itu meningkat RM5.9 juta atau 13.88% berbanding 2026, mencerminkan kepentingan pengurusan sumber negeri dan ketepatan kutipan hasil bagi memastikan pendapatan dapat dikutip secara teratur.
Pendidikan Islam dan kebajikan rakyat diberi perhatian
Bagi teras pemerkasaan agama dan pembangunan modal insan, sebanyak RM167.83 juta diperuntukkan untuk menyokong pendidikan, pembangunan insan dan institusi agama.
Daripada jumlah itu, RM132 juta disediakan kepada Yayasan Islam Kelantan, RM4 juta kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan RM4 juta bagi penyelenggaraan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.
Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM22 juta bagi Bantuan Am Bulanan al-Musa’adah, RM7.7 juta untuk Bantuan Beras al-It’am dan RM4.35 juta bagi Program Pembelaan Rakyat Miskin. Bantuan kepada golongan armalah dan anak yatim pula menerima RM6.75 juta, manakala Skim Khairat Kematian Kifaalah diperuntukkan RM5 juta.
Bagi perumahan, sebanyak RM14.95 juta disediakan untuk Bantuan Rumah Dhuafa’, manakala RM14 juta diperuntukkan bagi Rumah Mampu Milik Kelantan. Peruntukan rumah mampu milik itu termasuk RM8 juta bagi projek Bunut Susu yang melibatkan 178 unit dan RM4 juta bagi projek Meranti II yang melibatkan 100 unit.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada penjawat awam negeri Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak. Pembayaran akan dibuat dalam dua peringkat, iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan menjelang ambang Hari Kebangsaan, dengan implikasi kewangan keseluruhan RM7.13 juta. - DagangNews.com






