KUALA LUMPUR - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.26 bilion bagi tahun 2027 untuk memperkukuh kedudukan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selain membiayai penyelenggaraan jalan dan perumahan generasi Felda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu bertujuan memastikan kemajuan Felda dapat diteruskan, sekali gus menjaga kebajikan peneroka dan keluarga mereka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kemajuan Felda semakin dirasai peneroka apabila seramai 109,000 peneroka kini memiliki hak milik tanah.
"Purata pendapatan bersih peneroka turut meningkat daripada RM2,272 sebulan pada 2023 kepada RM3,800 pada tahun ini.
"Penyahsenaraian FGV Holdings Berhad (FGV) pula akan memperkukuh kedudukan kewangan Felda bagi memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, kerajaan turut bersetuju menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.30 sekilogram berbanding RM3 sekilogram ketika ini bagi membantu lebih 300,000 pekebun kecil getah.
Menurut beliau, kenaikan itu merupakan kali ketiga kadar IPG dinaikkan selepas insentif berkenaan ditetapkan pada RM2.50 sekilogram pada 2022.
"IPG pada masa ini ialah RM3 sekilogram dan kadar IPG akan ditingkatkan kepada RM3.30 sekilogram untuk memanfaat lebih 300,000 pekebun kecil," ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, kerajaan turut menggandakan peruntukan bagi membaik pulih jalan ladang kepada RM100 juta berbanding RM50 juta sebelum ini.
Menurutnya, pembiayaan hibrid berjumlah RM100 juta turut disediakan bagi membantu penanaman semula kelapa sawit milik 4,500 pekebun kecil, dengan mereka hanya perlu membayar balik separuh daripada jumlah pembiayaan.
Selain itu, Anwar memaklumkan, kerajaan memperkenalkan pembiayaan mudah berjumlah RM200 juta bagi membiayai kos penanaman semula bagi keluasan sehingga 40 hektar.
"Bayaran balik pembiayaan itu ditangguhkan selama empat tahun sementara menunggu pokok mengeluarkan hasil, manakala pekebun hanya perlu menanggung kadar faedah dua peratus dan baki faedah ditanggung kerajaan," ujarnya.
Dalam pada itu, kata beliau, seramai 290,000 pekebun kecil menerima bantuan subsidi sebanyak RM400 sebulan setakat September lalu, merangkumi petani, penternak serta pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf.
Anwar berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi membendung penyakit dan serangan perosak tanaman, termasuk Ganoderma, ulat bungkus dan koya dalam sektor sawit, selain penyakit tanaman koko dan lada.






