Belanjawan 2027: Kerajaan setuju sedia elaun pelajar Tingkatan Enam

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 6:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Belanjawan 2027: Kerajaan setuju sedia elaun pelajar Tingkatan Enam

BUKIT MERTAJAM, 28 OGOS: Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan bagi pemberian elaun kepada pelajar tingkatan enam dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira terdapat pelajar di peringkat berkenaan ketika ini tidak menerima sebarang elaun berbanding bantuan yang disediakan untuk pelajar sekolah rendah hingga tingkatan lima serta peringkat universiti.

“Baru-baru ini dalam dialog saya dengan anak-anak prauniversiti, saya kata dari darjah satu sampai tingkatan lima ada elaun, universiti ada elaun. Tingkatan enam, prauniversiti tidak ada.

“Jadi saya umumkan, dalam Belanjawan kita bulan Oktober, saya akan sediakan peruntukan dan elaun untuk pelajar-pelajar tingkatan enam,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar bersempena dengan Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Anwar bagaimanapun berkata jumlah peruntukan berkenaan belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan semasa.

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya berkata cadangan pemberian elaun itu merupakan antara 12 resolusi dibangkitkan pada Kongres Prauniversiti MADANI yang berlangsung di Klang, Selangor pagi tadi.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerima kesemua resolusi yang dikemukakan perwakilan pelajar dan akan menelitinya untuk penambahbaikan, selain mencari jalan bagi memastikan cadangan berkenaan dapat dilaksanakan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved