
PUTRAJAYA: Elaun sokongan sewa bandar wajar diperkenalkan sebagai satu bentuk kewangan langsung kepada penyewa berpendapatan sederhana bagi menampung sebahagian kos sewa tanpa perlu memiliki rumah.
Cadangan itu boleh dipertimbangkan menerusi pembentangan Belanjawan 2027 sebagai salah satu intervensi dasar strategik dalam usaha menyelamatkan golongan M40 di kawasan bandar yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang melambung.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Salwani Arbak berkata, pengenalan elaun ini adalah menerusi bantuan tunai bersasar RM300 hingga RM500 sebulan khusus untuk isi rumah M40 yang menyewa di kawasan bandar utama.
Katanya, perkara itu termasuk pemberian insentif cukai kepada pemilik rumah yang menyewakan hartanah pada kadar sewa terkawal kepada penyewa M40 berdaftar.
Beliau menjelaskan kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia terlalu obses dengan kadar pemilikan rumah yang secara tidak langsung memacu kenaikan harga hartanah.
“Di Jerman, kerajaan memperkenalkan Wohngeld (elaun perumahan) iaitu bantuan kewangan langsung kepada penyewa berpendapatan sederhana untuk menampung sebahagian kos sewa mereka tanpa perlu memiliki rumah.
“Kerajaan juga boleh memperkenalkan pelepasan cukai pendapatan baharu atau meningkatkan had pelepasan sedia ada untuk pembayaran sewa rumah bagi isi rumah M40 di kawasan bandar.
“Ini mengiktiraf hakikat bahawa ramai dalam kumpulan ini masih belum mampu memiliki hartanah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Salwani berkata, kerajaan juga boleh memperluas Skim Sewa untuk Milik (RTO) melalui peruntukan khas yang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju swasta, khusus untuk projek perumahan mampu milik di lokasi strategik bandar bagi mengurangkan kos pengangkutan harian.
Katanya, rangka kerja dasar untuk mengawal kenaikan harga sewa yang tidak munasabah boleh dipertimbangkan di kawasan tumpuan bandar, sekali gus melindungi penyewa daripada eksploitasi pasaran.
Sementara itu, Salwani berkata, kerajaan boleh memperkenalkan Tiket Transit Integrasi Nasional iaitu pas bulanan pengangkutan awam bersubsidi pada kadar tetap RM100 sebulan untuk penggunaan tanpa had bagi semua mod pengangkutan awam di Lembah Klang, Rapid Penang dan Rapid JB bagi membantu dalam penggunaan pengangkutan awam.
Katanya, ini secara langsung meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) golongan M40 bandar sehingga RM1,000 hingga RM1,500 setahun yang boleh disalurkan semula ke dalam ekonomi domestik melalui kesan pengganda (multiplier effect).
“Di Jerman, kerajaan memperkenalkan Deutschlandticket, satu tiket bulanan bernilai €49 (kira-kira RM250) yang membolehkan penggunanya menaiki semua pengangkutan awam di seluruh negara. Ini bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup, malah mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran,” katanya.
Bagi membantu golongan M40 dalam isu kos penjagaan anak pula, kata beliau, kerajaan boleh memperkenalkan Skim Kredit Penjagaan Awal di mana kerajaan membayar subsidi te-rus kepada pusat taska berdaftar bagi mengurangkan yuran bulanan golongan M40 kepada tidak lebih daripada 10 hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan mereka.
Katanya, ini bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup, malah menggalakkan penyertaan tenaga kerja wanita (Labour Force Participation Rate), yang penting untuk pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
“Seperti di Sweden, kerajaan mengenakan siling ke atas yuran taska. Ini bermakna ibu bapa hanya perlu membayar maksimum tiga peratus daripada pendapatan isi rumah untuk anak pertama. Di Jepun, pendidikan prasekolah dijadikan percuma sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN.
The post Perkenal elaun sokongan sewa bandar appeared first on Utusan Malaysia.





