Persatuan PKS tuntut Belanjawan 2027 dinilai bukan berdasarkan peruntukan besar geran dan insentif

LocalBusiness & Finance
24 Aug 2026 • 12:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Persatuan PKS tuntut Belanjawan 2027 dinilai bukan berdasarkan peruntukan besar geran dan insentif Image from: Persatuan PKS tuntut Belanjawan 2027 dinilai bukan berdasarkan peruntukan besar geran dan insentif amree24/08/2026 - 12:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos — Tekanan kos sebenar buruh, utiliti, pembiayaan, cukai dan pematuhan semakin membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyebabkan Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) menuntut Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada hasil yang boleh diukur, bukannya sekadar nilai besar peruntukan geran dan insentif.

 

Presiden Kebangsaan SME Malaysia, Dr Chin Chee Seong dan ahli Majlis Kebangsaan, Prof Dr Anthony Dass dalam kenyataan bersama berkata, bantuan kepada PKS perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, pelaburan, pertumbuhan perniagaan dan daya saing yang jelas serta dapat diukur.

 

Malaysia ujar mereka, sebenarnya sudah mempunyai ekosistem pembiayaan, insentif, geran, pendigitalan dan program pembangunan keupayaan PKS yang cukup meluas.

 

"Bagaimanapun, cabaran seterusnya adalah memastikan semua bentuk bantuan itu diselaraskan dengan lebih baik, mudah diakses dan mampu menghasilkan impak sebenar kepada perniagaan," jelasnya.

 

Justeru persatuan itu mencadangkan kejayaan sokongan Belanjawan 2027 diukur berdasarkan bilangan PKS menerima bantuan, tempoh kelulusan dan penyaluran dana, penggunaan automasi dan kecerdasan buatan (AI), peningkatan produktiviti serta pelaburan swasta dan pelaburan langsung domestik yang berjaya dijana.

 

Organisasi berkenaan juga mahu penilaian mengambil kira pembangunan pembekal, peningkatan eksport dan jumlah syarikat Malaysia yang berjaya berkembang ke peringkat serantau serta global.

 

PKS_DagangNews2026

 

SME Malaysia turut mencadangkan pelaksanaan penilaian kumulatif impak kos dan kawal selia PKS bagi mengukur kesan gabungan peningkatan kos buruh, utiliti, pembiayaan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), e-Invois, pelesenan serta keperluan pematuhan lain.

 

"Dalam masa sama, kami meminta sebarang kenaikan lanjut gaji minimum RM1,700 ditangguhkan, sebaliknya kerajaan memberi keutamaan kepada peningkatan produktiviti, automasi, pembangunan kemahiran tenaga kerja dan pengembangan perniagaan," katanya.

 

Bagi pembiayaan, SME Malaysia mencadangkan satu kerangka kitaran hayat PKS yang merangkumi modal kerja, pembelian mesin dan automasi, peralihan digital dan ESG, pertumbuhan serta eksport, selain pembiayaan ekuiti dan pengkomersialan.

 

Persatuan itu turut mahu kerajaan memastikan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi memberi peluang lebih besar kepada syarikat tempatan melalui perolehan tempatan, pembangunan pembekal serta pemindahan teknologi, pengetahuan dan pembangunan bakat.

 

SME Malaysia juga mencadangkan penubuhan Gerbang Pembangunan PKS Bersepadu bagi menyediakan satu profil dan laluan pembangunan tunggal untuk syarikat mengakses pembiayaan, teknologi, kemahiran, pensijilan, pembangunan pembekal dan sokongan eksport.

 

"Secara keseluruhan, SME Malaysia mahu Belanjawan 2027 membina lebih banyak syarikat tempatan yang mampu berkembang daripada perniagaan kecil kepada syarikat peringkat pertengahan yang berdaya saing di peringkat serantau dan global," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved