
PETALING JAYA: Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepat transformasi digital negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat, industri serta negara.
“Antara inisiatif utama diumumkan ialah peruntukan RM5 bilion bagi Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memperluas liputan internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli.
“Peruntukan ini juga akan digunakan untuk meningkatkan kesalinghubungan merentasi 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer laluan rel di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) dengan peruntukan RM1 bilion akan meningkatkan infrastruktur serta kesalinghubungan digital sektor kesihatan.
“Inisiatif ini turut menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), telekesihatan dan penggunaan dron bagi penghantaran ubat untuk menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan di luar bandar dan pedalaman.
“Sebanyak RM142 juta pula diperuntukkan untuk memperkasa fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital menerusi penyediaan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat,” katanya.
MCMC berkata, pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut Madani (SALAM) akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif dan mampan.
Dalam sektor pendidikan pula, penyediaan Wi-Fi di semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam akan memastikan akses internet yang lebih menyeluruh kepada pelajar bagi menyokong pembelajaran digital serta pembangunan bakat masa hadapan.
Katanya, pembangunan Sovereign AI Cloud serta usaha mempertingkatkan keselamatan siber negara akan mengukuhkan kedaulatan data, menyokong pembangunan AI yang selamat dan meningkatkan daya tahan ekosistem digital negara.
“MCMC juga akan terus memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah-sekolah seluruh negara sambil membanteras penipuan digital termasuk menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan.
“MCMC juga yakin pelaburan strategik ini akan terus memacu pembangunan ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang berdaya saing,” katanya. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027 komitmen kerajaan perluas infrastruktur digital appeared first on Utusan Malaysia.





