Kerajaan peruntuk RM459.8 bilion dalam Belanjawan 2027

Business & Finance
10 Oct 2026 • 7:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan peruntuk RM459.8 bilion dalam Belanjawan 2027

SEJUMLAH RM459.8 bilion perbelanjaan diperuntukkan dalam Belanjawan 2027 mewakili 19.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu peningkatan sebanyak 3.6 peratus berbanding Belanjawan 2026 yang disemak semula.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, daripada jumlah itu sebanyak RM376.8 bilion atau 81.9 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki RM83 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).

“Sebahagian besar peruntukan iaitu 30.2 peratus daripada jumlah keseluruhan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan.

“Dari segi peruntukan sektor, sebanyak RM161.6 bilion atau 35.1 peratus daripada keseluruhan bajet diperuntukkan kepada sektor sosial diikuti oleh ekonomi (RM59.4 bilion atau 12.9 peratus), keselamatan (RM46 bilion atau 10 peratus) dan pentadbiran am (RM23.4 bilion atau 5.1 peratus).

“Baki sebanyak RM169.4 bilion pula diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan,” katanya.

Jelasnya, peruntukan bagi OE berjumlah RM376.8 bilion atau 16.2 peratus daripada KDNK iaitu meningkat sebanyak 3.8 peratus daripada Belanjawan 2026 yang telah disemak semula.

“Emolumen kekal sebagai komponen terbesar OE mewakili 29.6 peratus atau RM111.6 bilion yang diunjur meningkat 2.9 peratus terutamanya disebabkan oleh kenaikan gaji tahunan serta keperluan tenaga kerja sektor kesihatan dan pendidikan bagi sistem dua kohort Tahun Satu.

“Bayaran persaraan yang merangkumi 11.8 peratus daripada OE dijangka meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM44.6 bilion susulan pertambahan bilangan pesara dan penerima manfaat di samping komitmen persaraan lain.

“Selain itu, subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 19.3 peratus daripada OE diunjur berkurang secara marginal sebanyak 2.3 peratus kepada RM72.7 bilion, hasil pelaksanaan berterusan subsidi bersasar seperti BUDI95, BUDI Diesel dan eCOSS.

“Sejumlah RM61 bilion pula diperuntukkan bagi bayaran khidmat hutang (DSC) yang mewakili 16.2 peratus daripada OE, di mana 98.4 peratus daripadanya diperuntukkan untuk pinjaman domestik,” katanya.

Menurut laporan itu, perkhidmatan dan bekalan diunjur meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM45.1 bilion merangkumi 12 peratus daripada OE bagi menampung perkhidmatan awam asas, pelanjutan Visit Malaysia 2026-2027, persediaan Sukan SEA ke-34 dan Pilihan Raya Umum Ke-16.

“Sementara itu, sebanyak RM17.1 bilion diperuntukkan untuk pemberian kepada badan berkanun terutamanya bagi pembangunan luar bandar, pendidikan tinggi dan sokongan sosioekonomi, manakala RM11.5 bilion diperuntukkan untuk pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri.

“Sejumlah RM83 bilion peruntukan DE juga telah disediakan pada 2027 bagi membiayai pelaksanaan sekitar 1,500 program dan projek baharu di bawah RMK13.

“Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu 45.4 peratus diikuti oleh sosial (33.7 peratus), keselamatan (14.7 peratus) dan pentadbiran am (6.2 peratus),” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan peruntuk RM459.8 bilion dalam Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved