
SELARAS dengan konsolidasi fiskal jangka sederhana di bawah Akta 850, defisit fiskal diunjur berkurang kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Persekutuan 2027.
Menurut laporan, pelaksanaan konsolidasi akan terus disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa dengan pelarasan fiskal berlandaskan peningkatan hasil yang mampan dan kecekapan perbelanjaan.
“Sehubungan itu, keperluan pinjaman akan terus dikawal sekali gus menyokong profil pembiayaan yang lebih mampan dan memperkukuh trajektori hutang dalam jangka sederhana.
“Peningkatan penyertaan sektor swasta melalui pendekatan PPP dan pelaburan bersama akan melengkapi pembiayaan awam bagi infrastruktur serta menggalakkan pelaburan dalam bidang yang mempunyai kesan limpahan ekonomi yang tinggi dan potensi pertumbuhan jangka masa
panjang.
“Inisiatif GEAR-uP akan membantu usaha sedia ada dalam menggalakkan pelaburan ke arah sektor strategik selaras dengan agenda pembangunan negara,” menurut laporan itu.
Belanjawan 2027 akan terus mempergiat agenda pembaharuan dan pembangunan di samping mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal yang teratur.
Walau bagaimanapun, prospek ekonomi kekal dipengaruhi oleh risiko peningkatan dan penurunan.
Dari sudut risiko peningkatan, permintaan domestik yang lebih kukuh, aktiviti pelaburan yang berterusan serta pelaksanaan pembaharuan struktural yang lebih pantas dijangka menyokong pertumbuhan dan prestasi hasil yang lebih baik.
Namun demikian, peningkatan ketegangan geopolitik, ketidakpastian dasar perdagangan yang berpanjangan serta turun naik pasaran komoditi dan kewangan boleh mengekang pertumbuhan, memberikan tekanan terhadap kedudukan fiskal dan menjejaskan kuasa beli isi rumah.
Justeru, kerajaan kekal berwaspada dan bersedia dalam menangani perubahan keadaan dengan dasar fiskal disesuaikan bagi mengekalkan kestabilan makroekonomi, melindungi kesejahteraan rakyat, mempertingkatkan daya tahan fiskal serta memastikan ruang dasar dalam jangka masa sederhana. – UTUSAN
The post Defisit fiskal 2027 diunjur 3.3 peratus daripada KDNK appeared first on Utusan Malaysia.






