SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengemukakan 10 tuntutan berkait perlindungan rakyat untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentang pada Jumaat.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi parti itu, senarai tuntutan yang dikemukakan ialah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM150 sebulan, taska bersubsidi dan elaun bayi, pengangkutan awam percuma, rumah sewa awam jangka panjang dan gaji kehidupan wajar.
Selain itu, perlindungan kos rawatan, rawatan kesihatan mental percuma, perantisan berbayar dan latihan semula, perlindungan banjir automatik dan pengurangan jurang harga Sabah dan Sarawak.
"Belanjawan 2027 mesti memberi kesan yang boleh dirasai dalam kehidupan rakyat. Muda mengemukakan 10 tuntutan untuk mengurangkan kos hidup, meningkatkan pendapatan dan melindungi keluarga daripada beban kewangan.
"Setiap tuntutan mempunyai sasaran, peruntukan dan kaedah pelaksanaan yang jelas," kata parti itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen pada Jumaat.






